Vaksin bukan punca kematian anggota bomba

0
202
Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang menafikan khabar angin di laman sosial yang mendakwa seorang anggota bomba di negeri itu meninggal dunia selepas menerima suntikan Covid-19.

Pengarahnya, Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, kematian pegawai bomba berkenaan adalah kerana serangan jantung dan bukan kerana suntikan vaksin yang diterima empat hari sebelum kematiannya.

Dr. Bahari berkata, pegawai berkenaan mempunyai sejarah penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

“Allahyarham pernah menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada Julai 2020 dan telah disaran oleh pakar untuk menjalani pembedahan.

“Pada Ahad lalu, dia telah menerima rawatan di Hospital Raub setelah mengalami gejala serangan jantung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Bahari berkata, Allahyarham menerima rawatan sewajarnya menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum dirujuk ke Hospital Lipis dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Bagaimanapun keadaannya semakin tenat dan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Selasa.

“JKN Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan isu yang tular itu diberi perhatian serius dengan siasatan segera telah dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak menularkan maklumat tidak tepat bagi mengelak salah tanggapan orang ramai terhadap vaksin Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here