
CYBERJAYA- Bermula 15 Mac ini, warga asing yang menggunakan Bas Smart Selangor akan dikenakan caj sebanyak RM0.90 sen bagi setiap perjalanan.
EXCO Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata, bagi warga Malaysia pula, perkhidmatan itu kekal digunakan secara percuma.
Selain itu katanya, pengguna Bas Smart Selangor wajib menggunakan ‘Scan To Ride’ yang perlu dimuat turun menerusi aplikasi Citizen E-Payment Platform (CEPat).
“sistem itu membolehkan mereka membayar tambang dengan kaedah mengimbas kod QR di pintu masuk dan keluar bas.
“Sistem ini diperkenal sejajar hasrat Kerajaan Negeri dalam menggalakkan penggunaan teknologi digital dan bayaran tanpa tunai selaras menjayakan visi Smart Selangor menjelang 2025.
“Bagaimanapun, pengguna bas warganegara berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak pula tidak diwajibkan mempunyai aplikasi ini sebaliknya mereka hanya perlu membawa kad pengenalan sahaja,” katanya seperti dilaporkan Selangorkini.
Menurut Sze Han, “Sistem ‘Scan To Ride’ juga boleh digunakan untuk selenggara dan tambah baik jumlah laluan Bas Smart Selangor pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata setakat Disember tahun lalu terdapat 11,000 pengguna telah memuat turun aplikasi CEPat.
“Kita menyasarkan lebih 200,000 pengguna bakal mengguna aplikasi ini. SSDU juga akan berusaha untuk tambah baik dengan beberapa perkhidmatan lain akan datang,” katanya.
Selain ‘Scan To Ride’, CEPat merupakan platform pembayaran elektronik berpusat yang turut menawarkan perkhidmatan sedia ada iaitu cukai taksiran, kompaun, lesen, sewaan fasiliti dan bayaran utiliti.