Warga pendidik puas hati pengisian Seminar Merak

0
108
Seminar Merak di The Top di KOmtar Pulau Pinang pada 24 Mac lalu dikendalikan oleh Ikon Pembelajaran Abad Ke-21, Datuk Aznil Nawawi atau lebih popular dengan gelaran Pak Nil.

GEORGETOWN – Peserta Seminar Merak anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) dan Yayasan Pesona berpuas hati dengan segala pengisian seminar berkenaan yang disifatkan amat berguna kepada warga pendidik.

Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chong Cheng Pulau Pinang, Tan Wei Kuang berkata, seminar berkenaan memberi manfaat besar kepada warga pendidik kerana banyak unsur menarik yang telah diterapkan.

Tan Wei Kuang

Beliau berkata, semua pengisian seminar begitu unik kerana guru dapat belajar sesuatu seperti dalam segmen tanda bacaan, lontaran vokal, kelajuan bertutur, diskripsi, lakonan dan banyak lagi yang bermanfaat.

“Saya percaya melalui ilmu yang diperolehi dalam seminar ini, para guru dapat menambah pengetahuan mereka untuk menarik minat murid di dalam kelas mahupun pembelajaran secara dalam talian di rumah.

“Dalam teknik lakonan yang diajar, saya percaya guru juga dapat belajar untuk mengatasi rasa malu untuk bercakap di depan kamera. Apabila guru berasa selesa, murid juga lebih berminat untuk belajar dan tidak bosan,” katanya.

Seminar Merak di The Top Komtar Pulau Pinang dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad.

Seminar Merak dianjurkan oleh YGMB dengan kerjasama Yayasan Pesona pada 24 Mac lalu di The Top di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan seminar berkenaan dikendalikan oleh Ikon Pembelajaran Abad Ke-21, Datuk Aznil Nawawi.

Seminar berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad dan turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Muhamad Syahmi Mohamad Jamil

Sementara itu, Guru Kaunseling Sekolah Menengkah Kebangsaan (SMK) Westland Pulau Pinang, Muhamad Syahmi Mohamad Jamil berkata, dia dapat belajar lebih mendalam teknik berkomunikasi dengan baik di seminar berkenaan.

“Saya merupakan guru kaunseling, ilmu yang diperolehi dalam seminar ini sangat penting kerana boleh digunakan semasa saya mengendalikan ceramah atau sebagainya. Kehadiran saya dalam seminar ini amat tepat.

“Sebagai guru kaunseling, saya kena bagi keyakinan kepada pelajar. Apabila gaya pengucapan lancar, saya yakin pelajar akan lebih faham apa yang ingin saya sampaikan. Selepas ini saya akan guna segala ilmu yang diperolehi.

“Terima kasih kepada pihak penganjur iaitu YGMB dan Yayasan Pesona yang memikirkan idea bernas menganjurkan seminar ini. Ia amat membantu para guru untuk memperolehi keyakinan untuk bercakap,” katanya.

Dr. Nur Hidayah Che Ahmad

Sementara itu, Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Nur Hidayah Che Ahmad berkata, walaupun sudah lama bergelar pensyarah iaitu lebih 10 tahun, beliau tetap hadir menimba ilmu di Seminar Merak.

“Selepas seharian mengikuti seminar ini, saya dapati ia memberi manfaat kepada pensyarah baharu dan lama untuk mendapatkan teknik mengajar secara berkesan di dalam kuliah dan juga tugasan luar.

“Kita belajar kaedah untuk bercakap dengan betul, lontaran suara yang bersesuaian mengikut keadaan semasa. Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi) juga menampilkan auranya dan libatkan peserta dalam pengajaran,” katanya.

Norsilawati Ishak

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Balik Pulau, Norsilawati Ishak mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada YGMB kerana menganjurkan seminar berkenaan.

“Tahniah dan syabas kepada YGMB kerana anjurkan Seminar Merak, ia banyak membantu guru untuk dapatkan teknik baharu dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam mahupun luar bilik darjah.

“Kita dapat lebih banyak ilmu, sangat membantu…melalui percakapan semasa mengajar kita dapat teknik menarik untuk digunakan. Ada pelbagai kaedah yang diajar seperti jerit bisik, marah, lucu dan sebagainya,” kata Norsilawati.

Par peserta Seminar Merak yang dianjurkan YGMB di Pulau Pinang pada 24 Mac lalu

Dalam pada itu, Aznil atau lebih dikenali sebagai Pak Nil berharap, semua peserta yang hadir menggunakan setiap ilmu yang diajar untuk proses PdP yang lebih berkesan agar dapat menarik lebih minat pelajar untuk belajar.

“Saya percaya, jika mereka (warga pendidik) menggunakan setiap teknik yang diajar dalam Seminar Merak, mereka akan lebih yakin…sebelum ini, mungkin ada guru yang malu untuk pelbagaikan suara mereka untuk mengajar.

“Jadi, selepas didedahkan dengan teknik yang betul dalam pengunaan suara dan sebagainya, saya percaya mereka akan guna. Sesi PdP akan lebih menarik dan para murid juga akan rasa terhibur untuk belajar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here