Yakin sepenuhnya kepada Allah rahsia Malakat Mall mampu berdiri seperti sekarang

0
1007
Malakat Mall Masjid Tanah yang selamat dibuka semalam

CYBERJAYA – Meskipun baru setahun beroperasi, Kumpulan Malakat telah berjaya membuka dua pusat beli belah, tiga pasar raya dan sebuah kedai serbaneka tanpa meminjam sebarang dana daripada institusi kewangan.

Berkongsi rahsia kejayaan tersebut, Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim berkata, walaupun sudah berjaya mencapai sehingga ke tahap tersebut, matlamat pihaknya masih jauh untuk dicapai.

“Kita masih jauh nak berjaya, kalau nak ikut definisi berjaya bagi saya ialah berjaya di akhirat dan masuk syurga. Itu baru dikira sebagai berjaya.

“Dari luaran orang nampak kita macam sudah berjaya tapi kita masih belum berjaya lagi. Bagaimanapun Alhamdulillah dengan model perniagaan yang kita terapkan sekarang, kita berjaya sehingga ke tahap ini.

“Model perniagaan yang kita buat ialah dengan mengambil alih mall yang mati dan pihak yang menguruskan mall itu perlu setuju untuk buat revenue sharing atau perkongsian keuntungan dengan kita,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Malakat Tribune baru-baru ini.

Coach Fadzil

Beliau yang lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pada awalnya terdapat pihak yang memperlekehkan model perniagaan tersebut dan tidak yakin dengan idea perkongsian keuntungan.

Bagaimanapun, katanya, selepas pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku sehingga menyebabkan banyak perniagaan serta kedai terpaksa menutup operasi, barulah pemilik pusat beli belah mengakui keberkesanan konsep tersebut dalam membantu usahawan.

“Sebelum ini ketika Malakat Mall wujud ada orang yang pandang lekeh pada kita dengan kata mana boleh, kena bayar semua juga sapa nak bagi macam itu (perkongsian keuntungan).

“Tapi bila berlaku PKP semua mall yang besar baru akui mereka sebenarnya kena ambil sewa ikut jualan. Itulah yang Malakat Mall buat selama ini,” katanya.

Dalam pada itu Coach Fadzil berkata, beliau bersyukur apabila berjaya mendapatkan ‘deal’ menarik untuk membuka Malakat Mall di Masjid Tanah, Melaka.

Berkongsi lebih lanjut, beliau turut mendedahkan mendapat tawaran yang menarik daripada seorang pemilik mall berbangsa Cina untuk bekerjasama dalam membuka pusat beli belah di Bangi.

“Dia kata kalau sewa dia tak nak tapi kalau bekerjasama dia nak jadi partner. Jadi kita akan bayar sewa dalam bentuk perkongsian jualan, saya jangka model ini akan menjadi pilihan kepada pemain-pemain industri ini pada masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, Coach Fadzil berkata, meskipun segala perancangan telah dibuat, perkara paling penting ialah ‘tashrif’ iaitu meyakini sepenuhnya kepada kekuasaan Allah.

Katanya, tanpa kuasa dan bantuan yang diberikan oleh Allah, seseorang manusia itu tidak akan memiliki apa-apa.

Coach Fadzil berkata, keyakinan kepada Allah sepenuhnya dapat dilihat apabila tanpa disangka-sangka Allah membuka ‘pintu hati’ kepada berapa syarikat terkenal di Malaysia untuk bekerjasama dengan pihaknya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bersama minuman Tea Amo ketika melawat sekitar Malakat Mall. -MT/FARID JANUDIN. Gambar fail

“Tanpa pertolongan Allah mana boleh kita buka 250 kiosk Tea Amo dan bekerjasama dengan syarikat Shell Malaysia dan Prasarana yang jika diikutkan kita tak boleh jumpa dia tapi selepas dah jadi viral dan dia dengar usaha kita, Allah buka hati mereka dan tawarkan kita tempat.

“Kemudian, Allah gerakkan pula Prasarana, ini semua syarikat besar yang bila kita ketuk pintu biasanya nak jumpa pun payah tapi bila mereka panggil kita terus jadi lain.

“Mereka panggil kita bukan sebab kita hebat tapi ia pastinya sebab pertolongan daripada Allah,” ujarnya.

Malakat Mall bakal bekerjasama dengan Shell Malaysia untuk menempatkan jenama Tea Amo dan Malakat Express di lokasi-lokasi strategik

Tidak setakat itu, Coach Fadzil turut mendedahkan melalui keyakinan kepada Allah sepenuhnya, Kumpulan Malakat juga sedang merancang untuk membuka 2,000 pasar raya Malakat Grocer dalam tempoh dua tahun dengan mengambil alih aset perniagaan milik sebuah syarikat yang belum dapat didedahkan namanya.

Katanya, jika perancangan itu berjaya, Kumpulan Malakat akan dapat membantu kira-kira 24,000 pekerja daripada dibuang kerja.

“Tolong doakan kami dapat bantu ‘convert’ aset mereka kepada Malakat Grocer dan pekerja yang sepatutnya akan diberhentikan itu,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here