15 tahun ponteng kerja, gaji masuk macam biasa

0
403
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Seorang lelaki di Itali menjadi antara pekerja paling lama ponteng di dunia iaitu selama 15 tahun dengan kekal menerima gaji sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Laporan media Itali mendedahkan lelaki yang bekerja di sebuah hospital kerajaan di Calabria, selatan negara itu telah menerima bayaran penggajian sebanyak 500,000 euro (RM2.4 juta).

Kes itu menyebabkan lelaki berusia 60-an itu kini disiasat atas kesalahan melakukan penipuan, pemerasan serta menyalahkan guna kuasanya, lapor agensi berita Itali, ANSA dipetik FreeMalaysiaToday hari ini.

Manakala enam daripada pegawai atasan di hospital terbabit juga dilaporkan disiasat berhubung kes berkenaan.

Laporan awal kejadian mendapati lelaki terbabit melakukan ancaman dan menakutkan rakan sekerjanya supaya tidak memaklumkan sesiapa mengenai ketidakhadiran ke tempat kerja dengan tujuan mengelak tindakan disiplin.

Pada 2005 iaitu ketika dia diambil bekerja, lelaki berkenaan dilaporkan dituduh mengancam pengurus serta keluarganya.

Bagaimanapun, ia bukan kes pertama membabitkan skandal ponteng kerja dalam perkhidmatan awam di Itali.

Pada 2016, sebuah bandar berhampiran Naples terpaksa menghentikan operasi pejabat perbandarannya berikutan separuh daripada kakitangan ditahan kerana ponteng kerja.

Ketika siasatan dilakukan, kakitangan dirakam menandatangani kehadiran masuk ke pejabat sebelum beredar keluar.

Dalam tahun sama, angka menunjukkan hampir suku kakitangan di bandar Rom mencuri tulang ketika waktu bekerja.

Manakala pada 2014 pula, anggota polis di kebanyakan ibu kota utama di Itali mengambil cuti sakit pada malam Tahun Baru sekali gus mengundang kecaman oleh perdana menteri ketika itu.

Itali merupakan antara negara yang mempunyai rekod pekerja paling tidak efisien di dunia kerana amalan ponteng dan pekerja yang tidak melaksanakan tugas hakiki.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here