19 sekolah di Selangor diarahkan tutup bermula Isnin ini

0
342
Gambar hiasan.

CYBERJAYA – Sebanyak 19 sekolah di negeri ini diarahkan tutup bermula Isnin ini selepas didapati berlaku jangkitan dan kemunculan kluster Covid-19.

Perintah penutupan premis itu dinyatakan melalui surat arahan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling bersama lampiran senarai sekolah yang terlibat.

Antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jelutong, SMK Bandar Sri Damansara 2, SMK Damansara Jaya, SMK Seksyen 7 dan SMK USJ 23.

Turut diarahkan tutup ialah SMK Puchong, SMK Puchong Utama 1, SMK Seksyen 4 Bandar Kinrara, SMK Bandar Puncak Jalil, SMK Seksyen 20 dan SMK Puchong Perdana.

Bagi Sekolah Kebangsaan (SK) pula adalah SK Puchong Perdana, SK Bandar Baru Sri Damansara 2, SK Bukit Kuchai, SK Bandar Sri Damansara 3, SK Bukit Jelutong dan SK USJ 20.

Turut diarahkan tutup ialah Sekolah Agama Menengah Bestari Subang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Chai.

Perintah penutupan sekolah di Selangor oleh PKD Petaling.

Pejabat Kesihatan Daerah Petaling berkata, penutupan sekolah bertujuan untuk proses kerja-kerja pembasmian kuman dan aktiviti saringan kontak-kontak rapat.

“Pembukaan sekolah akan dimaklumkan dua hari sebelum dan pihak sekolah perlu memastikan semua kontak rapat kepada kes positif dikuarantin.

“Semua kontak rapat perlu hadir untuk menjalani ujian swab atau pemberian surat kuarantin,” katanya.

Perintah penutupan dilakukan bagi kawalan penyakit berjangkit di bawah Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here