2 kakitangan imigresen, 4 individu terlibat palsukan dokumen ditahan SPRM

0
126
SPRM

CYBERJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua kakitangan Jabatan Imigresen dan empat lagi individu selepas disyaki terlibat sebagai ‘orang dalam’ yang mengeluarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.

Difahamkan, kesemua suspek itu diberkas secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur, malam tadi.

Empat daripada mereka adalah pekerja teknikal syarikat pembekal sistem, manakala dua lagi kakitangan imigresen berusia antara 34 hingga 42 tahun.

Sumber berkata, empat pekerja teknikal dipercayai bertanggungjawab memasang peranti dan perisian bagi tujuan menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).

“Penahanan pekerja syarikat pembekal sistem itu turut membawa kepada penemuan beberapa komputer di Imigresen yang dilengkapi peranti dan perisian penggodaman.

“Dua kakitangan Imigresen pula disyaki bersekongkol membantu sindiket terbabit menjalankan kegiatan menggodam sistem berkenaan.

“Mereka disyaki turut menerima rasuah sebagai habuan bersubahat dalam kegiatan itu,” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi Berita Harian mengesahkan tangkapan terbaru berkenaan.

“Kami melihat isu penggodaman ini sebagai perbuatan amat serius kepada aspek keselamatan negara.

“Kesemua suspek akan disiasat berhubung pembabitan mereka disyaki bersekongkol menggodam sistem imigresen.

“Segala sudut undang-undang jenayah akan dilihat dalam pelaksanaan siasatan ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here