3 kolej kediaman di UMS dikenakan ‘total lockdown’ mulai esok

0
446
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Tiga kolej kediaman di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) berikutan pertambahan kes Covid-19 yang membimbangkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga kolej kediaman itu ialah Kolej Kediaman Tun Mustapha, Kolej Kediaman Tun Fuad dan Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 133 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 19 kes positif Covid-19 telah direkodkan di lokaliti ini.

“KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni di ketiga-tiga kolej kediaman tersebut dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD bermula esok sehingga 18 April ini di tiga kolej kediaman itu,” katanya hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memastikan pergerakan penghuni dapat dikawal bagi mengelakkan penularan Covid-19 ke komuniti luar kolej kediaman.

Dalam pada itu, katanya, turut dikenakan PKPD di Sabah ialah Kampung Pagalungan Ansip di Keningau dan Kampung Kalindukan di Nabawan.

Katanya, PKPD di kawasan itu akan bermula esok sehingga 18 April ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan PKP di daerah Keningau yang sepatutnya tamat hari ini sehingga 18 April ini.

“Sehingga kini, secara kumulatif sebanyak 2,138 kes Covid-19 telah direkodkan dalam daerah ini dengan beberapa kampung
telah dilaksanakan PKPD ketika ini.

“KKM turut mengesahkan wujud beberapa kluster baharu dan masih berlaku peningkatan kes dalam komuniti dengan jumlah kes aktif dalam tempoh 14 hari adalah sebanyak 148 kes,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here