40 pelajar MMU, 128 kakitangan TM terima komputer riba

0
86
Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima bantuan komputer riba dan peranti di MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

CYBERJAYA – Seramai 40 pelajar dan 128 kakitangan Universiti Multimedia (MMU) dan Telekom Malaysia (TM) menarik nafas lega apabila menerima sumbangan berbentuk komputer riba dan peranti tablet bagi membantu memudahkan pembelajaran.

Sumbangan Universiti Multimedia (MMU) melalui Yayasan Universiti Multimedia (YUM) itu yang bernilai lebih RM200,000 itu adalah khusus untuk membantu pelajar dan ahli keluarga kakitangan yang berpendapatan rendah.

Menurut salah seorang penerima, Puteri Nursabrina Roslan, 21, berkata, pembelajaran secara dalam talian amat mencabar kepada pelajar yang kurang mempunyai peralatan.

“Bantuan ini sangat meringankan beban kewangan kerana komputer riba milik saya sebelum ini telah rosak dan tidak mampu untuk membayar kos membaikinya atau membeli unit baharu,” kata pelajar Diploma Pentadbiran Perniagaan di kampus MMU Melaka itu.

Puteri Nursabrina Roslan

Sumbangan itu disampaikan oleh Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud dalam majlis agihan bantuan di MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Saipolyazan M. Yusop dan Pengarah YUM, Dr. Ridzwan Bakar.

Dana sumbangan untuk penerima Muslim itu adalah daripada sumber zakat manakala empat penerima bukan Islam menerima bantuan daripada sumber derma.

Dalam pada itu, kakitangan Menara Kuala Lumpur, Ahmad Raziff Baharam, 52, berkata, tiga daripada lima anaknya amat memerlukan peralatan komputer riba untuk melaksanakan tugasan pengajian di institusi pengajian tinggi.

Ahmad Raziff Baharam

“Bantuan ini melegakan saya kerana waktu ini peranti amat penting untuk mendapatkan bahan-bahan pembelajaran secara digital dengan mudah dan murah berbanding pembelian buku dan bahan cetak yang mahal kosnya,” katanya yang sudah 23 tahun berkhidmat dengan Telekom Malaysia.

Pelajar jurusan Perakaunan, Mullaimalar Bandiservran, 20, berkata, sumbangan itu dapat melancarkan lagi pembelajaran terutama dalam situasi norma baharu waktu ini.

Mullaimalar Bandiservran

“Saya amat memerlukan peranti untuk pelajaran, terima kasih kepada MMU di atas keprihatinan ini,” katanya yang berasal dari Ipoh dan daripada keluarga B40.

Presiden MMU memberitahu, peralatan itu memberi banyak manfaat untuk membantu para pelajar mengikuti pembelajaran atas talian dalam situasi norma baharu waktu ini. Ia juga meringankan beban keluarga kerana tidak perlu lagi membeli kemudahan tersebut untuk memastikan pelajaran anak-anak tidak terjejas akibat kesan wabak Covid-19.

“Pandemik yang melanda dunia telah memberi impak yang cukup besar kepada golongan miskin, berpendapatan rendah atau B40 termasuk anak-anak mereka yang masih belajar sama ada di sekolah atau pun di peringkat pengajian tinggi.”

“Justeru, MMU melalui YUM telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu pelajar dan warga MMU yang memerlukan supaya pelajaran anak-anak tidak terjejas,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here