ADUN Melor meningal dunia

0
108
Dr Md Yusnan Yusof

KOTA BHARU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor, Dr Md Yusnan Yusof meninggal dunia di kediamannya, di sini, awal pagi tadi.

Allahyarham, 53, menghembuskan nafas terakhir jam 2.28 pagi tadi di kediamannya di Melor.

Perkara itu disahkan anak Allahyarham, Mohd Auzaie di Facebook.

“Dukacita dimaklumkan bahawa baba, Dr Yusnan sudah pergi menghadap Ilahi jam 2.28 pagi.

“Mohon doakan arwah ditempatkan di kalangan para solihin.

“Insya-Allah solat jenazah akan diadakan jam 2 petang di Masjid Ketereh. Mohon kepada semua untuk patuh prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Romaini Mat Daud dan enam anak.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, mewakili saf kepemimpinan kerajaan negeri dan Pas Kelantan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhan.

Beliau berkata, sebelum dipilih sebagai ADUN Melor sejak 2013, Allahyarham adalah bekas pembantu Profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Selepas dilantik sebagai Timbalan EXCO pada 2013, beliau berusaha menggerakkan secara aktif Jawatankuasa Pengkajian Enakmen Negeri Kelantan dengan memfokuskan kepada usaha menyemak Enakmen sedia ada dan mencadangkan beberapa Rang Undang-undang (RUU) untuk dibawa ke Dewan Undangan Negeri Kelantan.

“Mewakili saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan dan Pas Kelantan saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya menerusi satu kenyataan sebentar tadi.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here