Agong zahir tahniah, bangga rakyat Malaysia diterima ke Harvard College

0
116
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan tahniah kepada dua rakyat negara ini yang diterima melanjutkan pengajian ke Harvard College di Amerika Syarikat.

Kolej berkenaan merupakan sekolah sarjana bagi Universiti Harvard yang merupakan universiti paling berprestij dan terkemuka di dunia.

Pelajar yang bakal memasuki kelas sarjana bagi tahun 2025 itu ialah anak kelahiran Kuantan, Pahang, Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi yang merancang melanjutkan pengajian dalam jurusan Ekonomi.

Pelajar kedua pula adalah Jarell Cheong Tze Wen dari Kuala Lumpur yang bercadang melanjutkan pelajaran dalam jurusan Matematik.

Kedua-dua mereka merupakan antara 1,968 pelajar terpilih dan melepasi tahap kelayakan ketat ditetapkan daripada sejumlah 57,435 permohonan dari seluruh dunia.

“Kejayaan kedua-dua belia ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan individu yang berkualiti, berwibawa dan bertaraf antarabangsa.

“Kejayaan ini turut membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di persada antarabangsa,” titah Seri Paduka dalam hantaran menerusi akaun Facebook Istana Negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka berdua menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya golongan belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing.

Dua pelajar Malaysia yang layak melanjutkan pengajian ke Harvard College

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here