Aidilfitri: Pelajar IPT dibenarkan cuti balik kampung

0
124
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi bersetuju membenarkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara kecuali Sarawak untuk pulang ke rumah sempena cuti Hari Raya Aidilfitri.

Kebenaran itu diputuskan selepas mendapat kebenaran daripada Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sehubungan itu, KPT telah menetapkan beberapa mekanisme kawalan bagi mengawal dan menguruskan pergerakan pelajar yang akan dilakukan secara berfasa.

“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing ialah pada 7 – 12 Mei, manakala pergerakan pelajar kembali ke kampus ialah pada 15 – 20 Mei 2021.

“Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT,” kata KPT dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan,”

Bagi membolehkan pergerakan rentas negeri/ daerah berjalan lancar, KPT juga akan mengeluarkan surat rasmi pemakluman selain menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

Dalam masa sama, KPT turut memberi pilihan kepada pelajar sama ada ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan ini.

Pergerakan pelajar sempena Aidilfitri ini dianggarkan melibatkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar.

Pelajar-pelajar ini terdiri daripada enam kategori pelajar yang dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

Para pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri dan Dokumen Soalan Lazim yang telah disediakan melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.

Para pelajar yang mempunyai pertanyaan lanjut berhubung perkara ini boleh terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here