Aktiviti memancing bertukar tragedi, dua maut dipanah petir

0
232
Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk dibedah siasat

TEMERLOH – Aktiviti memancing lima sahabat di Kolam Ikan Empang Kampun Cempaka di Lanchang bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut dipanah petir 

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang semalam itu, mangsa yang maut dikenali sebagai, Muhammad Farhan Zainal Abidin, 20 dan Muhammad Fitri Fahmy Hashim, 27.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira jam 4 petang.

Beliau berkata, laporan berkenaan dibuat oleh pembantu perubatan Klinik Kesihatan (KK) Lanchang.

“Mangsa bersama tiga lagi rakannya berusia antara 22 hingga 47 tahun pergi ke kolam memancing tersebut kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Sebelum kejadian, dua mangsa terbabit dikatakan berteduh di bawah pokok di tepi kolam itu ketika hujan lebat disusuli dengan petir.

“Seorang rakan mereka pula balik ke rumah untuk mengambil telefon bimbit yang tertinggal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yusri, dua lagi rakan mengambil joran untuk pulang sebelum melihat kedua-dua mangsa rebah dan dipercayai pengsan.

“Mereka terus membawa mangsa ke KK Lanchang namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk dibedah siasat,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here