AstraZeneca: Kerajaan sedia pelan jika terpaksa tangguh

0
73
Khairy Jamaluddin

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan sudah bersedia dengan beberapa pelan sokongan sekiranya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), memutuskan vaksin AstraZeneca tidak sesuai digunakan di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, pakar tempatan akan bermesyuarat esok (Selasa), bagi menganalisis lebih lanjut data klinikal vaksin AstraZeneca susulan laporan mengenai kesan sampingan vaksin itu di United Kingdom (UK).

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, kumpulan pakar tempatan juga sedang mengikuti dekat perkembangan vaksin AstraZeneca.

“Kita ambil maklum bahawa terdapat beberapa kes dalam berita dan kes dikenal pasti daripada badan kawal selia perubatan UK berkenaan pembekuan darah.

“Kita masih lagi sedang melihat data berkenaan dan apa sahaja keputusan berkenaan dengan penggunaan vaksin AstraZeneca akan dimaklum kemudian.

“Kalau terpaksa tangguh AstraZeneca atau dapati bahawa ia tidak sesuai (digunakan), beberapa perancangan lain termasuk pelan sokongan akan dilaksanakan,” katanya memetik Berita Harian semalam.

Terdahulu, Khairy mengadakan mesyuarat tertutup bersama Hasni serta ketua agensi awam negeri ini.

Semalam, badan kawal selia perubatan UK mengesahkan tujuh daripada 30 individu yang mengalami pembekuan darah selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca meninggal dunia.

Kenyataan berhubung kes kematian itu dikeluarkan selepas beberapa negara Eropah mengambil keputusan menghentikan sementara suntikan vaksin AstraZeneca selepas ia berpotensi menyebabkan pembekuan darah.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, beberapa pelan sokongan sudah dilihat termasuk tawaran dos tambahan daripada Pfizer-BioNTech.

“Malaysia terima tawaran daripada Pzifer untuk tambah 12.8 juta dos kepada apa yang sudah ditempah kira-kira 32 juta dos.

“Itu akan jadi pelan sokongan sekiranya didapati vaksin lain tidak boleh digunakan.

“Kita juga masih lagi sedang runding dengan Novovax dan beberapa vaksin lain yang belum masuk pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy meminta masyarakat tidak bimbang berikutan Malaysia belum lagi menerima penghantaran vaksin AstraZeneca.

“Jadi jangan risau kerana kita masih lagi sedang guna vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac.

“Mengikut jadual vaksin AstraZeneca akan mula dihantar ke Malaysia pada Mei ini membabitkan 6.4 juta dos untuk kegunaan 3.2 juta rakyat.

“Malaysia juga akan menerima tambahan hampir 1.4 juta dos vaksin menerusi program pengedaran vaksin Covid-19 antarabangsa (COVAX) pembelian menerusi Pertubuhan Kesihatan Dunia,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here