
CYBERJAYA – Ayahanda Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, Abdul Rahman Baba meninggal dunia akibat sakit tua, pada pukul 3.40 pagi tadi.
Berita berkenaan dikongsikan Istana Selangor menerusi satu hantaran di laman Instagram Selangor Royal Official hari ini
Hantaran berkenaan memaklumkan bahawa Allahyarham Abdul Rahman, 89, kembali ke rahmatullah hari ini, bersamaan 8 Ramadan 1421 Hijrah.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi Facebook rasminya mengucapkan takziah kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan dosa dan di tempatkan dalam kalangan mukmin yang soleh serta mendapat husnul khatimah. Al Fatihah,” katanya.