Bekas diplomat dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang baharu

0
181
Tan Sri Ahmad Fuzi

CYBERJAYA – Bekas diplomat, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang Dipertua Negeri (YDP) Pulau Pinang kelapan bagi menggantikan Tun Abdul Rahman Abbas.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Ahmad Fuzi akan menerima watikah pelantikan di Istana Negara pada 30 April ini, manakala istiadat angkat sumpah jawatan akan berlangsung pada 1 Mei di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang.

“Bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, kami mengalu-alukan pelantikan Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang yang kelapan,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketujuh atas jasanya selama 20 tahun berkhidmat.

Menurutnya, beliau dan kerajaan negeri sudah mengadakan kunjungan hormat terhadap Abdul Rahman pada 12.30 tengah hari tadi untuk memaklumkan kepada beliau mengenai pelantikan Ahmad Fuzi.

Dilahirkan di Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 8 Januari 1949, Ahmad Fuzi menyertai perkhidmatan diplomatik dan pentadbiran negara pada 1972 dan pernah berkhidmat dalam pelbagai kapasiti termasuk Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri sehingga 2009.

Beliau pernah mengetuai delegasi pegawai kanan Malaysia dalam rundingan pelbagai persidangan dua hala, serantau dan antarabangsa dan terbabit dalam penganjuran sidang kemuncak seperti Sidang Kemuncak NAM, Sidang Kemuncak OIC dan Sidang Kemuncak Asean.

Dalam bidang korporat, beliau adalah Pengerusi pelbagai syarikat termasuk Takaful Malaysia Keluarga Bhd, Takaful Malaysia Am Bhd, AsiaEP Bhd, Amanahraya REIT Bhd dan Ranhill Energy Resources Sdn Bhd.

Beliau kini Setiausaha Agung Yayasan Forum Ekonomi Islam Sedunia, Pengerusi Kumpulan ACE Holdings Bhd dan Pengerusi ACE Investment Bank Ltd, Seremban Engineering Bhd, Theatre Management Associates Sdn Bhd, IMAN Research Consulting Sdn Bhd dan TAERG International Sdn Bhd.

Beliau juga menganggotai Lembaga Gabenor Universiti Meritus dan Penasihat Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here