Biadap dan tidak sensitif, syarikat judi promosi iklan judi sempena Aidilfitri

0
2664
Iklan yang tular sejak semalam di media sosial

CYBERJAYA – Biadap dan tidak sensitif apabila sindiket perjudian dalam talian dikesan memperhebatkan promosi kegiatan haram mereka di media sosial sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh sebuah syarikat perjudian itu mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat perjudian tersebut bagi meraih wang berganda tular di media sosial.

Malah iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.

“Apa ditunggu marilah cuba, untung nasibmu engkau berjaya, cuci semua kemudian beraya,” antara bait-bait lirik yang terdapat dalam video berdurasi 2 minit 1 saat yang kini tular itu.

Iklan berkenaan bukan sahaja mengejutkan banyak pihak tetapi mengundang kecaman netizen serta menarik perhatian ahli politik apabila hari istimewa umat Islam itu dijadikan sebagai modal iklan syarikat perjudian.

Antara yang tampil mengecam iklan berkenaan ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan iklan perjudian itu seperti mahu mencabar undang-undang negara bahkan langsung tidak sensitif dengan kemuliaan bulan Ramadan.

“Tanpa sebarang syak, iklan itu benar-benar mencabar undang-undang negara bahkan juga kemuliaan bulan Ramadan,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya semalam.

Sehubungan itu katanya, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) diminta bertindak segera ‘menghapuskan’ video raya syarikat judi yang tular di media sosial itu.

“Kerajaan melalui SKMM wajib bertindak seberapa segera yang mungkin. Iklan itu wajib ditarik balik semula dan mereka yang bertanggungjawab menerbitkan iklan ini wajib diadili,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here