Bomoh maut ditembak di bahagian kepala

0
319
Mangsa ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala

KUANTAN – Seorang pengamal perubatan tradisional ditemukan maut dengan kesan tembakan pada bahagian kepala di rumah sewanya di Bukit Rangin Perdana 2 malam semalam.

Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian berkenaan kira-kira pukul 11 semalam sebelum sepasukan pegawai dan anggota tiba di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam dan mangsa berada seorang diri di rumah.

Mohamad Noor berkata, siasatan polis mendapati terdapat kesan darah yang sudah kering di beberapa bahagian rumah dan mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamad Abdul Rahim Nasri.

“Mangsa berumur 31 tahun dan bekerja sebagai bomoh atau pengamal perubatan tradisional sejak lebih setahun lalu. Rumah digunakan sebagai lokasi mangsa menjalankan rawatan dan disewa oleh ibu mangsa.

“Difahamkan semasa kejadian mangsa berseorangan di rumah kerana isterinya yang baru melahirkan anak berada di kediaman ibu mentuanya di Pekan untuk berpantang,” katanya.

Tambah Mohamad Noor, semasa kejadian ibu mangsa tiada di rumah kerana berniaga ikan di tapak niaga Bukit Rangin 2 yang terletak kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Mohamad Noor berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih giat dilakukan.

Katanya, pihak polis tidak menolak kemungkinan mangsa ditembak oleh suspek yang mempunyai dendam dan marah terhadap mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here