[VIDEO] Bufet fine dining halal di Casa de Madani sepanjang Ramadan ini

0
173
Angus Beef Tenderloin, antara menu hidangan utama yang terdapat di Casa De Madani sempena bulan Ramadan.
Daging Wagyu MB5.

CYBERJAYA – Restoran fine dining halal pertama di negara ini, Casa de Madani di Malakat Mall, Cyberjaya menawarkan lebih 300 menu istimewa melalui sajian bufet Santapan Sepurnama sempena Ramadan tahun ini.

Pakej berbuka puasa di restoran yang popular dengan gaya makanan Eropah moden itu menawarkan jaminan 100 peratus halal pada harga permulaan RM100 setiap seorang.

Antara menu utama yang menjadi tarikan adalah daging steak Wagyu, itik salai, lobster, lambshank dan ikan kod.

Selain tujuh jenis hidangan utama (main course), pengunjung yang membuat tempahan bufer Santapan Sepurnama juga dihidangkan dengan pelbagai juadah seperti nasi goreng, lemang, rendang, kek, sup, aiskrim dan bubur lambuk Wagyu.

Santapan Sepurnama di Casa de Madani

Ketua Pegawai Operasi Malakat Food Sdn Bhd, Abdul Aziz Juhari berkata, pakej berbuka puasa itu adalah peluang terbaik kepada orang ramai untuk menikmati sajian fine dining dalam restoran bertaraf lima bintang dengan jaminan halalan toyibban.

“Bukan senang nak makan fine dining yang betul-betul ada jaminan halal. Di Casa de Madani, jaminan halal adalah keutamaan nombor satu kami.

“Sebagai cef yang berkecimpung lama dalam bidang ini, kami prihatin isu halal di kebanyakan restoran fine dining yang memang agak syubhah kerana penggunaan arak dan sebagainya,” katanya ketika Majlis Food Testing Buffet Ramadan, Santapan Sepurnama@Casa De Madani, Rabu lalu.

Turut hadir Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim; Ketua Pegawai Operasi (GCOO) Kumpulan Malakat, Adzhar Mohd. Noor dan Pengarah Kulinari Kumpulan Malakat, Chef Azizan Shukri.

Pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim (duduk, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Malakat Food, Aziz Juhari (duduk, kanan) menunjukkan antara hidangan menu utama di Casa De Madani.

Abdul Aziz berkata, sebagai jaminan halal, Casa de Madani yang beroperasi sejak tahun lalu meletakkan piawaian yang tinggi pada pembekalan bahan mentah dan ramuan yang digunakan.

“Misalnya penggunaan daging import, ramuan, kita tahu ke dia halal? Itu sebabnya kita perkenalkan halal fine dining yang halalan toyyiban.

“Ia bukan sahaja (bermaksud) tiada arak. Memang jaminan 100 peratus setiap produk yang masuk ke dalam restoran kita, brand kita, Malakat Food dijamin halal,” ujar beliau.

Katanya, keistimewaan santapan di restoran itu juga terletak pada barisan cef-cef yang berpengalaman luas di dalam dan luar negara dengan pencapaian tertinggi termasuk pengiktirafan sebagai 500 cef terbaik dunia yang diterima oleh Pengarah Kulinari, Cef Azizan Shukri.

Selain itu katanya, layanan eksklusif kakitangan yang sebahagian besar terdiri daripada bekas krew penerbangan yang kehilangan pekerjaan akibat penularan Covid-19.

Pada majlis yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd Fadzil Hashim turut mengumumkan permulaan operasi 24 jam sehari Malakat Mall sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Ruang buffet di Casa De Madani

Katanya, sebagai kemudahan kepada pelanggan di Malakat Mall dan Casa de Madani, pihaknya menyediakan ruang solat berkeluarga.

“Operasi 24 jam pada bulan puasa ini diharap dapat memberi keselesaan kepada para pengunjung untuk beribadat dan berbelanja dengan lebih tenang.

“Pengunjung juga boleh meluangkan masa beribadat di sini (Malakat Mall) dan berbelanja selepasnya,” kata beliau.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil turut menyeru orang ramai terutamanya kumpulan-kumpulan korporat supaya dapat bersama-sama menyokong Casa de Madani melalui tempahan korporat dan amal.

Tempahan bufet Ramadan Santapan Sepurnama yang dibuka untuk 78 orang setiap hari boleh dibuat di laman web wwww.casademadani.asia -MT

Casa De Madani yang terletak bersebelahan dengan pintu masuk utama Malakat Mall, Cyberjaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here