[VIDEO] Che’ Din jenama pelopor makanan dalam tin halal

0
396
Sebahagian daripada produk keluaran Che’ Din Food Industries yang berada di pasaran. -FARID JANUDIN/MT

TEKAD beralih kerjaya daripada bidang kejuruteraan kepada dunia perniagaan menjadi keputusan paling sukar dilalui Mohd Khairuddin Abdul Karim sebelum bergelar usahawan berjaya.

Sebagai individu yang tidak mudah puas dan mengalah dengan cabaran, beliau mengambil keputusan meninggalkan jawatan ‘selesa’ sebagai jurutera di sebuah kilang semi konduktor.

MADE IN KUALA KANGSAR!

Menariknya menurut Mohd Khairuddin, keputusan untuk menceburi bidang penghasilan makanan dalam tin yang dibuat kira-kira 10 tahun lalu itu hanya bersandarkan pada satu ‘eksperimen’ suka-suka.

Pengarah Urusan, Che’ Din Food Industries itu berkata, idea memulakan produk tersebut bermula ketika beliau melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ketika itu katanya, beliau menyedari potensi dalam industri pengetinan makanan ekoran kurangnya penglibatan usahawan Islam yang dapat memberikan jaminan kualiti, halal dan bersih.

Mohd Khairuddin Abdul Karim-FARID JANUDIN/MT
Mohd Khairuddin Abdul Karim bersama kakitangannya di kilang produk yang terletak di Kuala Kangsar, Perak.-FARID JANUDIN/MT

Berbekalkan latar belakang dalam bidang kejuruteraan, Mohd Khairuddin terus mendalami proses penghasilan dan teknologi pengetinan makanan semasa sedang menuntut di UPM.

Berbekalkan keyakinan dan ilmu yang ditimba, beliau tampil dengan produk pertamanya iaitu ikan keli dalam tin hasil kerjasama dan penyelidikan makanan dengan UPM.

“Di makmal UPM, saya belajar mengenai asas proses penghasilan makanan sehingga ke peringkat industri,” katanya yang lebih dikenali dengan gelaran Che Din.

Proses pengetinan produk di kilang Che Din Food Industries.-FARID JANUDIN/MT

Katanya, bermula dengan operasi di ‘kilang kampung’ yang hanya mampu mengeluarkan kira-kira 200 tin sehari, syarikatnya kini mampu mengeluarkan sehingga 6,000 tin sehari.

Kilang yang menggunakan dua lot premis di Kawasan Perindustrian (MIEL), Kuala Kangsar itu juga merupakan antara pengilang makanan dalam tin pertama di Perak.

Che Din berkata, sambutan baik daripada pelanggan membolehkan syarikatnya menggandakan jumlah penghasilan produk sehingga mempunyai 32 jenis produk pada masa ini.

“Alhamdulillah 10 daripadanya adalah produk hotseller kami iaitu sardin, rendang tok, rendang masak hitam, masakan kurma dan sambal bilis,” katanya.

Produk-produk keluaran Che’ Din Food Industries kini dipasarkan ke seluruh negara termasuk di Mydin, AEON, TF Value Mart dan Lesong Mart selain terlibat dalam program tajaan Lembaga Zakat Kedah, Yapim, Mercy Malaysia dan beberapa NGO semasa penularan Covid-19 awal tahun lalu.

Proses menyediakan ramuan dilakukan dalam persekitaran yang bersih.-FARID JANUDIN/MT
Penggunaan bekalan ikan segar dari nelayan tempatan yang memberi jaminan produk berkualiti.

Katanya, syarikat kini menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada komuniti setempat termasuk kerja-kerja penampalan label kepada para suri rumah yang memerlukan pendapatan tambahan.

Bagaimanapun menurut Che Din, kejayaan yang dikecapi pada hari ini tidak mungkin lancar tanpa bantuan dan bimbingan yang diterima daripada RISDA.

RISDA baginya adalah pemacu utama perniagaan syarikat khususnya melalui dua suntikan modal yang diterima iaitu Bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET2) dan GroomBig.

“Bantuan pertama berjumlah RM20,000 saya gunakan untuk menaik taraf kilang pertama yang dibuka di kampung ke kilang yang beroperasi sekarang.

“Bantuan kedua sebanyak RM50,000 pula saya gunakan untuk menambah mesin, membina stor, makmal dan pejabat,” katanya.

Mohd Khairuddin Abdul Karim ditemani isteri bertemu dengan pegawai RISDA di Kuala Kangsar, Perak.-FARID JANUDIN/MT

Che Din berkata, sekiranya diberikan peluang yang lebih besar, beliau mensasarkan peningkatan kapasiti pengetinan sehingga 40,000 tin sehari dalam masa dua tahun dari sekarang.

“Kami berterima kasih kepada Risda atas bantuan dan bimbingan yang diberikan. Tidak dinafikan, bantuan inilah yang membolehkan kami meluaskan lagi perniagaan kami sehingga ke tahap ini.

“Sebagai usahawan bumiputera kami mengharapkan bantuan-bantuan yang lebih baik untuk membantu kami pergi lagi jauh memasuki pasaran yang lebih luas,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai produk Che Din Food Industries boleh diperolehi dengan menghubungi talian 05-7700355 atau email : chedinfood@gamil.com

Jenama Che Din kini menyediakan pelbagai peluang pekerjaan termasuk penduduk kampung yang melakukan kerja-kerja penampalan label. -FARID JANUDIN/MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here