Coach Fadzil jawab segala tuduhan dalam sesi Live Facebook

0
3797
Mohd Fadzil Hashim bersiaran secara liva di Facebooknya hari ini bagi menjawab tohmahan dan kritikan.

CYBERJAYA – Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim atau Coach Fadzil hari ini meluangkan masa hampir 2 jam dalam sesi live Facebook bagi menjawab segala tohmahan dan dakwaan yang dilontarkan sejak beberapa hari lalu.

Bermula daripada tuduhan menjadi penunggang agama sehinggalah dikatakan tidak menjaga kebajikan pekerja, tidak membayar gaji, memaksa kakitangan keluar bertabligh dan melakukan bidaah.

Sesi live dari pejabat beliau itu bermula dengan penjelasan beliau mengenai kritikan terhadap penglibatan Malakat Mall dengan pemborong berbangsa Cina yang disifatkan bertentangan dengan perjuangan Buy Muslim First (BMF).

Coach Fadzil berkata, penglibatan dengan beberapa pemilik syarikat dari GM Plaza itu dibuat Malakat Mall selepas ketiadaan sumber pembekalan barang daripada usahawan Islam.

“Saya sebut banyak kali dah, isu beli barang dari orang bukan Islam tidak sepatutnya jadi isu kalau orang ramai faham konsep BMF.

“Kena ingat ada barang yang kita tiada pilihan, kalau tidak beli kita tak ada barang tersebut sebab memang tidak dibekalkan oleh orang kita.

“Bahkan pemain-pemain BMF utama yang lain di negara ini pun beli barang dari pembekal Cina,” katanya.

Beliau berkata, tujuan Malakat Mall diwujudkan adalah untuk mengubah nasib orang Islam dalam agihan kekayaan ekonomi dengan menyediakan pelbagai peluang yang selama ini tidak tersedia.

Antaranya melalui penyediaan platform jualan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), tempat niaga tanpa sewa, bimbangan perniagaan dan sebagainya.

“Matlamat utama kita adalah untuk mewujudkan ekosistem ekonomi Islam. Kita sudahpun bermula tapi ia tidak semudah disangkakan. Ini masih ramai yang tidak faham,” katanya.

Mohd Fadzil Hashim memberi taklimat semasa Hari Bersama Vendor Malakat Mall di Cyberjaya. foto FARID JANUDIN, 2 JULAI 2020

Menjawab tuduhan mengambil kesempatan ke atas vendor dan usahawan, beliau berkata, isu itu tidak sepatutnya timbul kerana segala masalah sepatutnya dibincang dalam sesi Hari Bertemu Usahawan yang diadakan setiap minggu.

“Kena ingat bahawa dalam polisi kita untuk bantu usahawan, kita tidak dapat lari daripada usahawan yang masuk ke sini dengan bermacam-macam masalah.

“Satu daripadanya adalah kesuntukan aliran tunai, kami faham masalah mereka tapi kami sekadar dapat bantu dengan polisi yang kami tetapkan.

“Mustahil kami dapat layan kehendak setiap daripada mereka,” katanya dengan memaklumkan terdapat kira-kira 1,500 produk tempatan di Malakat Mall ketika ini.

Pihak Malakat Mall dengan kerjasama Brainy Bunch juga terlibat dalam pelbagai projek kemanusiaan sepanjang pelaksanaan PKP.

KEBAJIKAN PEKERJA

Mengenai dakwaan tidak menjaga kebajikan pekerja, beliau berkata, perkara itu kerap ditimbulkan oleh bekas-bekas pekerja yang meninggalkan syarikat selepas gagal memenuhi ketetapan dan sasaran syarikat.

Katanya, salah seorang daripadanya adalah bekas Ketua Pegawai Operasi yang dibayar gaji RM10,000 setiap bulan selama hampir setahun tetapi tidak melaksanakan tugas dengan baik dan diminta berhenti.

“Dakwaan saya tidak jaga kebajikan pekerja tidak tahu datang dari mana sebab daripada 1,800 kakitangan, macam-macam bantuan yang sudah saya bagi. Ada yang sakit, kemalangan, tajaan, anugerah dan sebagainya.

“Demi Allah saya akui sepatutnya saya bagi lebih lagi kepada pekerja tapi belum sampai masa lagi. Sebab itu saya sedang berusaha membina ekosistem yang membolehkan kami bayar gaji minimum RM5,000 sebulan,” katanya.

TIDAK BAYAR GAJI

Coach Fadzil berkata, beliau juga dituduh tidak membayar gaji pekerja sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Perkara itu katanya jauh dari kebenaran kerana sehingga hari ini, semua tunggakan gaji kepada lebih 1,800 kakitangan di Malakat Mall dan Brainy Bunch telah selesai dibayar.

“Semasa PKP, semua kakitangan dibayar gaji tetapi bukan dalam jumlah yang cukup sebab terkesan akibat Covid-19. Pendapatan utama saya dari tadika dan sekolah Brainy Bunch hanya ada 30 peratus pelajar yang bayar.

“Jadi kami maklumkan kepada kakitangan pada ketika itu pembayaran dibuat secara berperingkat dan beransur-ansur,” katanya.

KWSP

Mengenai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang tidak dilakukan syarikat, beliau menjelaskan pihak syarikat mengambil keputusan untuk mengutamakan pembayaran gaji pekerja berbanding caruman kepada tabung itu.

“Pilihan saya ada dua, sama ada utamakan gaji kakitangan atau bayar KWSP, baik saya bayar gaji dulu sebab mereka komitmen. Semuanya sebab kami tiada cash flow kerana PKP. Tapi kita tetap bayar.

“Hakikatnya kami berdepan dengan masalah aliran tunai seperti syarikat-syarikat lain. Kalau syarikat kami ditutup, kakitangan pun hilang kerja,” jelasnya.

Kakitangan menunaikan solat fardu berjemaah di lobi Malakat Mall. Gambar sebelum Covid-19.

AMALAN SUNNAH & BIDAAH

Coach Fadzil berkata, beliau juga dituduh memaksa kakitangan beribadat dengan amalan sunnah dan bidaah dalam waktu kerja sedangkan perkara itu tidak benar.

Katanya, arahan yang dikeluarkan syarikat hanya setakat mengerjakan solat berjemaah apabila masuk waktu dan menyertai program-program tazkirah dan latihan.

“Kalau arahan solat berjemaah, hadir ceramah, baca kitab dan sebagainya dianggap bidaah itu saya tidak tahu nak kata apa,” katanya.

Jelasnya, mengenai arahan mengikuti program ala tabligh (khuruj), ia adalah sebahagian daripada latihan kepada kakitangan untuk meningkatkan keimanan, tanggungjawab sebagai pekerja dan pembangunan diri.

“Arahan untuk ‘keluar’ 3 hari itu pun bukannya keluar pergi berdakwah macam tabligh. Tinggal sahaja dalam rumah ikuti program latihan untuk lebih faham tanggungjawab kerja. Itu sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here