Covid-19: Kelantan rekod kadar jangkitan tertinggi

0
29
Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Kelantan hari ini merekodkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R naught (Rt) tertinggi di negara ini iaitu pada kadar 1.32 berbanding kadar kebangsaan 1.19.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, ia berikutan peningkatan kes positif Covid-19 yang mendadak sehingga menyebabkan tujuh jajahan di Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jumaat lepas hingga 29 April ini.

Beliau berkata, setakat ini masih terdapat 2,627 sampel yang belum mendapat keputusan ujian Covid-19 dan lebih membimbangkan penggunaan katil hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) semakin meningkat.

“Sejumlah 23 peratus kes dikesan tidak melibatkan kontak rapat dan ini menunjukkan jangkitan dalam komuniti sangat tinggi.

“Langkah penutupan sekolah dalam kawasan PKP terpaksa dilaksanakan berikutan 30 peratus jangkitan adalah daripada kalangan warga sekolah.

“Justeru, beberapa langkah akan diambil bagi mengatasi masalah penularan wabak Covid-19 di tempat kerja, sekolah, masjid dan komuniti,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Ahmad berkata, kerajaan negeri juga menyeru seluruh umat Islam di Kelantan agar mengadakan solat hajat di masjid dan kediaman masing-masing bagi membendung wabak Covid-19 sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu juga umat Islam diminta memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bersedekah.

“Mudah-mudahan dengan amalam taqqarub itu dan dengan keberkatan bulan Ramadan, wabak ini dapat dibendung,” katanya.
Semalam, Kelantan merekodkan 225 kes baharu dengan 28 kluster yang masih aktif.

Terdahulu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan bertindak mengarahkan semua sekolah dan institusi pendidikan di tujuh jajahan yang dikenakan PKP, ditutup seminggu bermula hari ini hingga 24 April depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here