Covid-19: Kelantan tambah pusat kuarantin baharu

0
60
PKRC di MAEPS. Gambar Media Sosial

KOTA BHARU – Sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) khas bagi menempatkan pelajar sekolah yang positif dibuka di Kelantan berikutan peningkatan kes akibat jangkitan wabak berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, ia menjadi PKRC ketujuh di Kelantan.

“Kita sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk menjadikan asrama sekolah sebagai PKRC khas bagi menempatkan pelajar yang disahkan positif dari seluruh Kelantan.

“PKRC berkenaan membabitkan sebuah sekolah menengah di Salor. Kita akan membuka hari ini atau selewat-lewatnya esok.

“Pelajar lelaki dan perempuan semua akan ditempatkan di lokasi berkenaan membabitkan dua blok” katanya memetik laporan Berita Harian hari ini.

Terdahulu, beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di sini hari ini.

Dr Zaini berkata, PKRC berkenaan boleh menampung 300 pesakit pada satu masa.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, suntikan vaksin fasa dua yang bermula hari ini membabitkan 120 warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan berisiko.

Media sebelum ini melaporkan, Kelantan merekodkan tujuh kluster pendidikan membabitkan 464 individu positif Covid-19 merangkumi guru, kakitangan dan pelajar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here