Covid-19: Kes baharu menurun, 7 lagi kematian

0
23

PUTRAJAYA – Jumlah penularan Covid-19 baharu di dalam negara menurun 1,070 dalam tempoh 24 jam lalu berbanding 1,349 kes, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sejak penularan wabak itu kini sebanyak 352,029 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, sembilan melibatkan kes import dan 1,061 penularan dalam negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Dr. Noor Hisham berkata, pertambahan itu juga menjadikan kes aktif di seluruh negara sebanyak 14,278.

“Sebanyak 180 kes yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 89 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menerima laporan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19.

“Empat kes dilaporkan di hospital di Selangor, dua di Sabah dan satu di Johor,” katanya.

Katanya, semua kes kematian melibatkan warga tempatan berumur 49 hingga 86 tahun yang mempunyai pelbagai penyakit kronik.

“Jumlah keseluruhan kes kematian adalah 1,295,” katanya.

Tambah beliau, terdapat sebanyak 1,294 kes pulih dilaporkan pada Isnin.

“Jumlah kumulatif kes pulih ialah sebanyak 336,456 kes bersamaan 95.6 peratus daripada keseluruhan kes,” katanya.

Berdasarkan statistik 24 jam lalu, Selangor kekal negeri tertinggi kes positif Covid-19 iaitu sebanyak 327 kes, diikuti Sarawak (225 kes), Pulau Pinang (133), Kuala Lumpur (88), Sabah (65), Johor (55), Pahang (37) dan Kedah (34).

Katanya, negeri lain ialah Kelantan dengan 31 kes, selain Melaka (25), Labuan (17), Putrajaya (lapan), Perak (lapan), Terengganu (tiga) dan Perlis (dua).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here