Covid-19: Sekolah ditutup hanya jika kecekapan operasi terganggu

0
57
Dr. Radzi Jidin

TASEK GELUGOR  –  Penutupan sekolah yang terlibat dengan kes Covid-19 hanya akan dilaksanakan sekiranya jumlah kakitangan sekolah yang perlu menjalani kuarantin menjejaskan kecekapan operasi persekolahan.  

Menteri Kanan (Pendidikan) Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, langkah penutupan hanya akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) selepas mengambil kira penilaian risiko yang dijalankan oleh pejabat kesihatan daerah (PKD).

“PKD adalah pihak yang pakar membuat penilaian dan mereka akan meneliti secara lebih mendalam mengenainya. Jika ada tingkat, bangunan tertentu atau keseluruhan sekolah perlu ditutup, ia akan dilakukan berdasarkan arahan itu.

“Bagi pihak KPM pula, kita melihat dari sudut operasi yang mana jika sebahagian besar guru terpaksa dikuarantin hingga menyebabkan kecekapan operasi sekolah terjejas, kita akan lihat sama ada sekolah itu boleh diteruskan atau ditangguh dulu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dr. Radzi berkata demikian selepas menghadiri majlis penyerahan kunci Sekolah Menengah Kebangsaan Tasek Gelugor dan wang penyelenggaraan kepada 31 sekolah dalam kawasan Parlimen Tasek Gelugor pada Sabtu.

Kenyataan itu berhubung tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang yang sebelum ini menggesa tindakan drastik termasuk penutupan terhadap sekolah yang mempunyai kes Covid-19.

Mengulas mengenai majlis pada Sabtu, Radzi berkata, kementerian itu memberi penekanan besar terhadap infrastruktur sekolah dengan memastikan penyelenggaraan dijalankan secara berterusan.

“Infrastruktur yang baik merupakan asas yang utama supaya anak-anak boleh belajar dalam keadaan yang selesa dan kondusif serta membolehkan para guru menyampaikan pembelajaran dengan baik,” katanya.

Sementara itu, Radzi dalam ucapannya berkata, KPM akan menyusun semula senarai sekolah yang layak menerima bantuan penyelenggaraan, baik pulih dan sebagainya mengikut keutamaan dalam usaha memastikan sekolah yang betul-betul layak menerima peruntukan terlebih dulu.

“Sekarang ada lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dan kita perlu memberi keutamaan kepada sekolah yang betul-betul layak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here