Daftar segera anak-anak autisme dan OKU dengan JKM

0
123
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun

KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan penjaga anak autisme serta Orang Kurang Upaya (OKU) diminta supaya mendaftarkan anak jagaan mereka dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia bagi membolehkan bantuan intervensi awal diberikan untuk perkembangan anak-anak tersebut.

Beliau berkata, program intervensi awal oleh JKM itu menyediakan bantuan serta sokongan yang meliputi pelbagai aspek kehidupan anak istimewa itu termasuklah dalam bidang pekerjaan.

“Program itu juga memberi bantuan kepada ibu bapa dan penjaga seperti latihan serta pendedahan untuk menguruskan kehidupan anak-anak autisme. Intervensi awal amat penting untuk membantu perkembangan dalam aspek pertuturan, perlakuan dan sebagainya.

“Kerajaan menerusi kementerian ini dan agensi di bawahnya banyak inisiatif dan bimbingan untuk ibu bapa dan penjaga seperti PDK (Program Pemulihan Dalam Komuniti).

“Jadi mereka dengan anak autisme mahupun OKU lain, berdaftarlah dengan JKM,” katanya selepas melancarkan pameran Seni Kreatif Bernama sempena sambutan Hari Autisme Sedunia 2021 di Wisma Bernama hari ini.

Untuk rekod, sehingga kini, sebanyak 595,000 individu OKU berdaftar dengan JKM dengan 28,941 daripadanya adalah individu autisme.

Sementara itu, Rina juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga khususnya pasangan muda untuk tidak berasa malu atau rendah diri jika mempunyai anak istimewa, sebaliknya meraikan serta mengetengahkan bakat anak-anak istimewa itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here