Dr. Zul jawab tuduhan naiki pesawat khas ke Arab Saudi

0
381
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

CYBERJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyangkal dakwaan lawatan beliau ke Arab Saudi menaiki pesawat mewah menggunakan wang rakyat.

Sebaliknya kata beliau, lawatan sejak Jumaat lalu itu dibuat atas jemputan dan tajaan penuh oleh Liga Dunia Islam (MWL) melalui Setiausaha Agungnya, Sheikh Mohammed Abdul Karim al-Issa atas perkenan Khadimul Haramain al-Syarifain Raja Salman Abdulaziz.

Penjelasan mengenai perkara itu dibuat oleh Dr. Zulkifli di Facebook rasminya selepas tular video beliau dan delegasinya menaiki pesawat khas di laman sosial.

“Ingin saya nyatakan semua program dan mesyuarat penting berkaitan haji, umrah dan hal ehwal Islam sepanjang saya di Arab Saudi diaturkan dan ditaja penuh oleh Liga Muslim Sedunia,” katanya

Dr. Zulkifli berkata, penerbangan daripada Riyadh ke Madinah juga diuruskan oleh MWL selepas pihaknya menerima jemputan daripada Gabenor Madinah Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud yang mengetahui beliau seorang Menteri berkelulusan Universiti Islam Madinah.

“Baginda amat sukacita apabila mendapat tahu ada seorang Menteri daripada Malaysia, berkelulusan Universiti Islam Madinah, telah datang ke Arab Saudi atas urusan negara.

“Atas sebab itulah jemputan diraja dizahirkan berserta dengan pesawat berkenaan… begitulah sebagaimana yang saya dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata, jemputan dan kunjungan beliau itu merupakan tanda penghormatan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

Katanya, kesempatan beliau berada di sana juga digunakan untuk mendoakan kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Mengenai video itu, saya maafkan tuduhan tersebut. Tidak ada apa-apa yang perlu saya simpan di hati,” katanya.

Dr. Zulkifli bersama Gabenor Madinah, Yang Mulia Putera Faisal bin Salman bin Abdulaziz Al Saud semasa kunjungannya ke Arab Saudi sejak Jumaat lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here