Dua sindiket tumpas, 297 kg dadah berjaya dirampas

0
106

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani menunjukkan dadah yang dirampas

SHAH ALAM – Sebanyak 297 kilogram dadah jenis heroin, syabu dan ketamin bernilai RM17.55 juta berjaya dirampas dalam dua operasi berasingan di Lembah Klang pada Selasa dan Rabu lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, melalui operasi itu, polis berjaya menumpaskan dua sindiket dadah dan menyita pelbagai aset lain bernilai RM1.01 juta.

Acryl Sani berkata, sindiket itu dipercayai menyeludup dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa dan dalam operasi sama, polis berjaya membongkar makmal haram memproses dadah ketamin.

“Operasi pertama, polis melakukan tujuh serbuan sekitar Lembah Klang dan menahan sembilan individu berumur lingkungan 24 hingga 46 tahun. Polis juga merampas 354 ‘slab heroin base’ dengan anggaran berat 134 kilogram.

“Turut dirampas 101 bungkusan plastik disyaki berisi syabu dengan anggaran berat 104 kilogram yang bernilai RM15.2 juta. Jumlah dadah ini dianggarkan untuk kegunaan 9.2 juta penagih.

“Sindiket ini telah mula aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak Februari tahun ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Menurut Acryl Sani , modus operandi sindiket itu adalah dengan menyeludup masuk bekalan dadah ke Malaysia dari Selatan Thailand melalui jeti haram di Kelantan menggunakan penghantaran kontena dan ‘parcel‘.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan semua suspek ditahan reman antara satu hingga tujuh hari bermula 21 April 2021.

Sementara itu, dalam operasi kedua, Acry Sani berkata polis berjaya menumpaskan makmal haram memproses dadah ketamin di Rawang dan menangkap lapan ahli sindiket berumur lingkungan 26 hingga 47 tahun.

“Turut dirampas sejumlah 22.015 kilogram dadah jenis ketamin dan 37.15 kilogram cecair disyaki dadah ketamin dianggarkan bernilai RM2.35 juta.

“Turut dirampas adalah peralatan dan bahan kimia dipercayai digunakan untuk memproses dadah ketamin. Jumlah dadah ini dianggarkan untuk kegunaan seramai 197,217 penagih. Sindiket aktif sejak Februari tahun 2021,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan semua suspek ditahan reman antara lima hingga tujuh hari bermula 21 April 2021.

Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan dalam kedua-dua operasi tersebut adalah RM18.56 juta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here