Geng Nicky: 10 pegawai kanan polis, 2 pegawai SPRM jadi tali barut diberkas

0
293
Nicky Liow Soon Hee merupakan ketua Geng Nicky yang terlibat dengan pelbagai kes jenayah

JOHOR BAHRU – Dua pegawai  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 10 pegawai kanan polis ditahan pihak polis selepas dipercayai menjadi tali barut kumpulan jenayah terancang ‘Geng Nicky’ dalam beberapa siri serbuan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek itu ditahan dalam fasa dua Ops Pelican 3.0 yang dilancarkan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan bermula 21 April hingga pagi ini.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 36 hingga 49 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Dua suspek yang bertugas di Bukit Aman ditahan melibatkan seorang superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah dan seorang inspektor yang bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

“Empat pegawai dari kontinjen Selangor turut ditahan melibatkan seorang pegawai berpangkat deputi superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, seorang pegawai cawangan khas berpangkat asisten superintendan dan dua inspektor yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah dan ketua polis balai,” katanya dalam sidang akhbar khas yang. disiarkan secara langsung dari IPK Johor di sini.

Mengulas lanjut, katanya, penahanan 12 pegawai itu merupakan tangkapan pertama melibatkan pegawai penguat kuasa yang disyaki terlibat dengan kegiatan ‘Geng Nicky’.

Ayob Khan berkata, dengan perkembangan itu menyaksikan seramai 64 suspek telah ditahan membabitkan orang awam dan pegawai penguat kuasa yang dipercayai terlibat jenayah terancang ‘Geng Nicky’.

“Siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Kesemua mereka yang ditahan dibawah akta ini akan dikenakan reman selama 28 hari,” jelasnya.

Sementara itu beliau percaya penahanan terbaharu ini akan membantu pihaknya dalam usaha menjejak ketua geng berkenaan iaitu Nicky Liow Soon Hee yang dilucutkan gelaran Datuk Seri oleh Istana Pahang, baru-baru ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here