Guru bergurau keterlaluan isu rogol akan dikenakan tindakan tegas

0
108
Tangkap layar daripada akaun TikTok seorang pelajar yang mendakwa guru Pendidikan Jasmani bergurau keterlaluan baru-baru ini

CYBERJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan tegas terhadap seorang guru guru Pendidikan Jasmani sekiranya dakwaan dia bergurau keterlaluan seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol terbukti benar.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya mengambil serius dan tidak akan sesekali bertoleransi terhadap perkara itu.

“Kami di KPM mengambil serius perkara ini, kami tak boleh bertoleransi, namun begitu di peringkat kementerian, kita sedang melaksanakan siasatan dan kes ini juga sudah menjadi kes polis.

“Kita sedang buat siasatan yang cukup mendalam untuk lihat keadaan sebenar dan tindakan tegas akan diambil kepada guru tersebut,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung melalui platform KPM hari ini.

Baru-baru ini, seorang pelajar perempuan membuat laporan polis ekoran kejadian tersebut telah mendatangkan kegusaran dan perasaan tidak senang hati kepadanya.

Katanya, pada mulanya pelajaran berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.

Bagaimanapun, pelajar berkenaan mendakwa guru lelaki itu bergurau dan mula bercakap lucah.

“Guru itu kemudian berkata, jika pelajar-pelajar nak rogol, janganlah rogol yang bawah 18 tahun, rogol yang 18 tahun ke atas sebab banyak undang-undang untuk bawah umur,” katanya pelajar berusia 16 tahun itu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here