Hadiri perkahwinan adik punca munculnya kluster baharu di Terengganu

0
112
Seorang petugas kesihatan sedang melakukan ujian saringan Covid-19 di Teremgganu. Kredit gambar Facebook Dr Noor Azimi

CYBERJAYA – Ketidakpatuhan pada prosedur operasi standard (SOP) ketika menghadiri satu majlis perkahwinan di sebuah lokasi di Terengganu menyebabkan munculnya kluster baharu Covid-19 yang sehingga kini telah menjangkiti sebanyak 26 orang.

Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, kluster Taman Rakyat yang menjadi kluster baharu Covid-19 di Terengganu berpunca dari aktiviti rentas negeri seorang individu dari Sabah untuk menghadiri majlis perkahwinan adiknya baru-baru ini.

Katanya, sebanyak 26 kes dikesan positif Covid-19 dari kluster berkenaan, iaitu 11 ahli keluarga dan 15 lagi tetamu yang menghadiri kenduri.

“Hasil pertemuan hanya untuk ‘kirim’ duit kenduri serta cenderahati telah menjangkiti kawan baik.

“Kawannya itu pula mengadakan majlis akikah di kampung yang akhirnya menjangkiti lima ahli keluarga dan tujuh tetamu kenduri akikah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya semalam.

Beliau berkata, seharusnya kejadian tersebut menjadi iktibar kepada semua pihak supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Jadi apa iktibar kisah-kisah ini? Adanya rentas negeri dan perkumpulan ramai orang tanpa pematuhan SOP. Jika SOP dipatuhi, tak akan ada jangkitan. Kalau ada pun, ia sangat minimum dan bukan kluster besar sebegini.

“Sebab itu kami selalu pesan tangguh dulu perkumpulan ramai orang. Kita tak tahu siapa yang kita jumpa walaupun ahli keluarga atau rakan sekerja.

“Kita semua yang patut kuat kuasakan pematuhan SOP, bukannya diserah semata-mata kepada agensi penguatkuasaan,” katanya.

Ketika ini terdapat 238 kes aktif Covid-19 di Terengganu dengan kes tertinggi direkodkan di Besut iaitu 127 kes diikuti Kuala Nerus (43), Dungun (27), Kuala Terengganu (27), Hulu Terengganu (tujuh), Marang (empat) dan Setiu (tiga).

Kluster Taman Rakyat yang didaftarkan pada 15 April adalah kluster komuniti yang membabitkan daerah Dungun.

Kes indeks bagi kluster itu ialah seorang lelaki berusia 32 tahun yang dilaporkan positif Covid-19 pada 6 April hasil saringan sebelum kembali ke Sabah.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here