Ibu bapa, penjaga golongan OKU wajar dimasukkan dalam fasa kedua PICK

0
54

CYBERJAYA – Ibu bapa dan penjaga kepada orang kurang upaya (OKU) wajar dimasukkan dalam fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) supaya mereka boleh diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin itu.

Saranan itu diutarakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ras Adiba Radzi sambil menambah, mereka ini juga wajar dilindungi seperti barisan hadapan kerana mereka bertanggungjawab dalam menjaga, memantau serta membantu memenuhi semua keperluan harian OKU yang kronik dan lemah.

“Jutaan terima kasih atas keprihatinan kerajaan kerana melibatkan golongan berisiko tinggi, OKU serta warga emas dalam fasa kedua… bagaimanapun saya ingin memohon jasa baik Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin untuk menetapkan ibu bapa dan penjaga kepada OKU dalam fasa kedua ini juga.

“Jikalau ibu bapa atau penjaga ini tidak sihat atau terdedah kepada Covid-19, maka tiada sesiapa yang boleh membantu keperluan OKU itu dan ini akan menyebabkan OKU itu mengalami pelbagai masalah serta masalah kesihatan mental yang boleh mendorong mereka sehingga cubaan bunuh diri,” kata Ras Adiba dalam satu kenyataan, hari ini.

Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata, memandangkan kanak-kanak OKU yang berisiko tinggi mengalami morbiditi tidak tersenarai dalam program vaksinasi atas faktor usia, maka adalah penting untuk individu berdekatan mereka menerima suntikan vaksin itu.

“Penting untuk memastikan individu-individu yang berdekatan atau sekeliling OKU diberikan keutamaan dalam program vaksinasi ini supaya dapat mengelakkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan OKU serta ia juga dapat melindungi nyawa kanak-kanak OKU,” kata beliau lagi.

Justeru, beliau memohon supaya pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dapat memandang perkara itu dengan serius bagi memastikan dan melindungi kanak-kanak OKU dan penjaga mereka yang dikategorikan sebagai golongan rentan yang wajar diberi perhatian.

Ras Adiba turut menambah, hak dan martabat golongan OKU perlu dan tetap dijadikan satu daripada agenda teras untuk diperkasakan supaya kemakmuran bumi dapat dimanfaat serta dikongsi bersama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here