Iklan judi Aidilfitri: SKMM, KDN digesa ambil tindakan tegas

0
388
Iklan judi hari raya yang mencetuskan kemarahan umat Islam

CYBERJAYA – Pertubuhan Pembela-pembela Islam (Pembela) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap sebuah syarikat perjudian yang mempromosikan aktiviti judi menerusi iklan hari raya.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, intipati video tersebut bukan sahaja menyinggung perasaan umat Islam malah seolah-olah mengajak untuk berjudi melalui perkhidmatan mereka untuk mengumpul wang untuk raya.

“Ini adalah sangat biadap dan pastinya mustahil mereka tidak tahu berjudi adalah haram dalam Islam.

“Apakah mereka sangka umat Islam begitu terdesak mencari wang untuk raya sampai sanggup berjudi? Saya melihat, penghasilan iklan ini jelas adalah sesuatu yang disengajakan demi publisiti murahan melalui provokasi kepada sensitiviti umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, tular iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri oleh sebuah syarikat perjudian untuk mengajak orang ramai menggunakan perkhidmatan syarikat perjudian tersebut bagi meraih wang berganda.

Aminuddin Yahaya

Lebih membangkitkan kemarahan orang ramai apabila iklan perjudian berkenaan turut menggunakan khidmat beberapa pelakon dipercayai Muslim tampil dengan imej bertudung, lengkap berbaju kurung dan berbaju Melayu menerusi iklan mereka.

Dalam pada itu, Aminuddin juga menggesa pihak berkuasa menyiasat semua yang terlibat dalam menghasilak iklan tersebut termasuk pelakonnya.

“Dalam iklan ini, ada orang-orang Melayu yang menjadi pelakon. Saya rasa mungkin jabatan agama boleh menjejaki mereka dan memberi khidmat kaunseling dan nasihat kerana mungkin mereka ini tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan ini adalah salah sebagai seorang Muslim.

“Perkara ini bukan isu umat Islam sahaja semata-mata. Perjudian adalah sesuatu yang amat tidak bermoral dalam mana-mana masyarakat pun kerana meruntuhkan institusi kekeluargaan, akhlak, peribadi dan sebagainya.

“Maka, amatlah jelek jika masyarakat diajak berjudi untuk mencari wang untuk menyambut mana-mana perayaan sekalipun.

“Perkara ini perlu dikekang sebelum menjadi norma pada masa hadapan. Jangan sampai iklan pelacuran pun ada versi raya pula nanti,” tegasnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here