Iklan raya promosi judi: 8 individu ditahan polis

0
246
Iklan hari raya syarikat perjudian yang tular sejak kelmarin

CYBERJAYA – Lapan individu yang terbabit dalam pembikinan iklan raya mempromosikan judi dalam talian diberkas oleh pihak polis semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, individu yang ditahan adalah lima lelaki dan tiga wanita dipercayai pelakon, ejen artis, jurukamera, dan produser video berkenaan.

“Semua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video berkenaan yang diadakan di dua lokasi iaitu di Ampang dan Hulu Langat pada 13 Mac.

“Setakat ini, polis menerima 38 laporan polis yang dibuat berkaitan dengan video berkenaan susulan daripada siasatan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Polis kini sedang giat mengesan dalang di sebalik pembikinan video berkenaan.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dalam apa jua perjudian di negara ini. Orang ramai juga diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan,” katanya.

Semalam tular video lagu raya berdurasi dua minit dan satu saat dengan memaparkan aksi lakonan, nyanyian empat individu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita yang mana liriknya dipercayai menggalakkan serta mengajak orang awam berjudi.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here