Isu penggunaan kalimah Allah, KDN akan keluarkan arahan pentadbiran

0
77

CYBERJAYA – Satu arahan pentadbiran berkenaan penggunaan kalimah Allah akan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, hari ini, lapor Bernama.

Kata Hamzah, arahan meliputi orang Islam dan bukan Islam itu akan dikeluarkan mengikut undang-undang sedia ada termasuk Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau turut berkata, akta sedia ada memberikan kuasa kepada menteri untuk mengeluarkan sesuatu arahan, dan pada kali ini, arahan itu adalah berkaitan kalimah Allah.

“Arahan ini perlu dikeluarkan cepat supaya tidak ada masalah timbul kerana orang tetap akan buat penerbitan dan sebab itu kita perlu keluarkan arahan,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Wacana Meja Bulat bersama Menteri Dalam Negeri di Putrajaya, hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 Mac lepas memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan Arab iaitu Baitullah, Kaabah dan solat, dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Hamzah berkata, arahan yang akan dikeluarkan itu akan memberikan kefahaman secara jelas kepada semua pihak mengenai penggunaan kalimah Allah.

“Kita perlu lihat penggunaan kalimah Allah itu di mana dan tempat mana‚Ķ kefahaman mengenainya perlu diberikan, contohnya penggunaan kalimah Allah tidak melanggar (undang-undang) jika ia untuk beri kepastian dan pemahaman,” katanya.

Beliau menambah, perbincangan khusus telah diadakan dengan wakil agama Islam dan agama lain mengenai isu penggunaan kalimah Allah itu dan tindakan yang boleh dibuat mengikut undang-undang sedia ada.

“Oleh itu, arahan yang akan dikeluarkan ini akan mengambil kira Perlembagaan dan berkait rapat dengan undang-undang peringkat negeri masing-masing,” kata beliau lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here