
CYBERJAYA – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menyifatkan sikap berdiam diri Menteri Pendidikan terhadap isu pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing di Jalan Kinrara 5B, Bandar Kinrara, menunjukkan seolah-olah timbalannya lebih berkuasa.
Aktivis ISMA Subang Jaya, Abdullah Ibn Khaldun berkata, Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sepatutnya bersuara dalam isu itu untuk mempertahankan kepentingan sekolah kebangsaan berbanding sekolah jenis Cina.
Tindakan itu katanya perlu kerana kerajaan harus mengutamakan sekolah kebangsaan yang lebih menepati keperluan semua kaum dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid.
“Kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Dr Mah Hang Soon yang masih mempertahankan pembinaan SJKC Too Joon Hing Bandar Kinrara, adalah sombong dan hanya menjaga kepentingan kaumnya sahaja.
“Sedangkan beliau sendiri menyedari bahawa kawasan tersebut merupakan majoriti masyarakat Melayu dan sudah semestinya tapak pembinaan yang asalnya untuk sekolah kebangsaan dikekalkan, bukan diganti dengan SJKC,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Hang Soon membidas pihak yang mempertikaikan pembinaan SJKC baharu itu, selepas ia mendapat tentangan kebanyakan penduduk Bandar Kinrara, kawasan majoriti Melayu.

Justeru, beliau mengingatkan Hang Soon supaya tidak mengusik dan membina sekolah yang bertentangan dengan demografi masyarakat setempat.
Abdullah menegaskan, meskipun sudah ada beberapa sekolah kebangsaan di kawasan itu, realitinya anak-anak majoriti Melayu terpaksa berhimpit sehingga mempunyai 17 buah kelas.
“Perkara ini juga jelas akan membebankan pihak sekolah yang terpaksa menjaga murid-murid yang bilangannya ramai.
“Kembalikan status tanah untuk didirikan sekolah kebangsaan dan bukannya sekolah jenis kebangsaan.
“Jika dibiarkan perkara ini berlarutan boleh mengakibatkan jurang perpecahan kaum menjadi lebih luas,” katanya lagi.
