Jabatan Imigresen kongsi maklumat lokasi Nur Sajat

0
137
Nur Sajat

PUCHONG – Jabatan Imigresen telah menyalurkan maklumat mengenai keberadaan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman yang didakwa berada di luar negara ketika ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan maklumat tersebut kepada umum bagi mengelak menganggu siasatan pihak berkuasa.

“Ketika ini kes dalam siasatan, kami sudah berkongsi maklumat dengan pihak yang berkaitan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Op Bersepadu yang dijalankan di Bukit Puchong hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed yang memaklumkan polis ketika ini menyiasat kemungkinan Muhammad Sajjad berada di luar negara.

Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila memuat naik video mahu keluar daripada Islam, selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya.

Ia berhubung kes dikendalikan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Pada Januari lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita.

Bagaimanapun pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atasnya kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kes itu tanpa sebarang sebab.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here