Jangan menghina, bantulah jayakan ekosistem ekonomi Islam

0
1545
Malakat Mall merupakan satu-satunya pusat beli belah yang memberi peluang fast traxk kepada usahawan Muslim meletakkan produk masing-masing yang telah memenuhi kroteria ditetapkan

BERGEGAR alam maya apabila pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim memuat naik gambar bersama pemborong-pemborong kaum bukan Islam di sebuah pasar raya borong terkenal di Lembah Klang untuk membuka kedai mereka di Malakat Mall, Cyberjaya.

Ramai yang mengecam beliau bahawa tindakan itu sudah tersasar daripada landasan Buy Muslim First (BMF) yang telah diperjuangkan sejak tiga tahun lalu.

Penulis rasa sedih dengan tindakan warga maya yang terus mengecam tanpa memahami maksud sebenar BMF dalam memperkasakan ekosistem umat Islam di negara ini.

Dalam laman Twitter ‘serangan’ bertali arus golongan-golongan liberal yang menyerang pengasas Malakat Mall itu. Malah seorang ahli politik parti pembangkang memuat naik ciapan sehinggakan pengikutnya mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya sebagai umat Islam.

Apa yang ingin disampaikan oleh Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil, beliau mahu usahawan Islam membina sistem rangkaiannya sendiri kerana sudah lama masyarakat itu jauh ketinggalan dalam bidang peruncitan.
Selama ini, hanya satu kaum menguasai hampir seluruh rantaian termasuk syarikat-syarikat asing yang menguasai pasaran runcit negara.

Pertumbuhan peruncitan yang dimiliki umat Islam masih kecil tetapi mereka bergerak dalam kelompok tertentu.
Usaha Coach Fadzil adalah untuk membina satu rantaian peruncitan besar dengan menyatukan produk-produk usahawan Muslim di bawah satu bumbung.

Ini bertujuan untuk meningkatkan ekonomi umat Islam negara supaya setanding dengan bangsa-bangsa lain.
Apakah salah apabila bekerjasama dengan syarikat peruncitan lain untuk diletakkan dalam sebuah pasar raya atau kedai runcit yang dimiliki umat Islam?

Cuba lihat kedai-kedai runcit atau pasar raya milik Muslim. Adakah kesemua barang yang diletakkan dalam premis mereka merupakan produk usahawan Islam? Sudah tentu sedikit bilangannya jika dibandingkan produk-produk usahawan bukan Islam yang mendapat status halal memenuhi rak mereka.

Langkah yang dilakukan oleh Coach Fadzil adalah mahu melihat ekonomi umat Islam di negara ini berkembang pesat selepas jauh ketinggalan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Jika dilihat beberapa tahun kebelakangan ini, banyak syarikat bukan bumiputera merebut peluang mendapatkan status halal terhadap produk mereka kerana mereka melihat kuasa membeli adalah lebih kuat tertumpu kepada pengguna Islam.

Adakah kita mahu meminggirkan usahawan-usahawan Muslim ini ditinggalkan dan memberi kelebihan kepada syarikat terbabit terus menerus memasarkan produk mereka.
Dalam memahami prinsip BMF ini, terdapat tiga faktor yang perlu dilihat oleh kita secara umum. Pertama, beli barangan Muslim di kedai Muslim. Kedua, beli barangan Muslim di kedai bukan Muslim dan ketiga beli barangan non Muslim di kedai Muslim.

Gambar hiasan

Di sini kita melihat aspek ketiga yang ramai terlepas pandang. Dalam kita memajukan ekonomi masyarakat Islam, ramai peniaga runcit kita menjual barangan bukan Muslim dalam premis mereka.

Perlu diingat, setiap barangan yang dijual di kedai Muslim akan kembali kepada umat Islam melalui pembayaran zakat.
Apabila kita membeli barangan di kedai tersebut maka kita dapat membantu orang lain termasuk peniaga yang inginkan memulakan perniagaan.

Janganlah kita cepat menghukum tanpa memahami konsep BMF sebenar. Apa yang dibeli akan menjadi darah daging kita. Yang utama adalah membantu meningkatkan kembali kuasa ekonomi umat Islam di negara ini supaya setanding dengan bangsa lain.

Penulis merupakan bekas Pengarang Malakat Tribune dan Penolong Pengarang Utusan Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here