Kami dah panggil usahawan kita, tapi tak ada yang datang -Coach Fadzil

0
20577
Pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah merupakan antara bukti komitmen Malakat Mall untuk membantu pembangunan ummah tanpa mengira faktor geografi dan status sosial masyarakat.

CYBERJAYA – Isu Malakat Mall membeli barang-barang dari pemborong berbangsa Cina tidak sepatutnya ‘diperdebatkan’ jika umat Islam betul-betul memahami konsep Buy Muslim First (BMF).

Pengasas pusat beli-belah itu, Mohd. Fadzil Hashim berkata, isu yang sama sudah berkali-kali timbul sebelum ini kerana ramai tidak memahami asas perjuangan dan cara perniagaan Malakat Mall.

Beliau berkata, apabila mendengar slogan kami ‘Beli Sama-Sama kita, Jual Sama-Sama Kita’ atau Malakat Mall milik orang Islam, ramai beranggapan ia sepatutnya ‘bebas’ daripada penglibatan orang bukan Islam.

Sedangkan katanya, urusan perniagaan tidak semudah disangkakan dan prinsip BMF juga tidak secetek itu, terutama dalam keadaan penguasaan pembekalan produk yang masih dikuasai oleh orang bukan Islam.

Mohd. Fadzil berkata, untuk memahami perkara itu umat Islam perlu sedar bahawa perjuangan BMF adalah ultimate goal (kemuncak/tujuan) namun bukannya hukum atau sesuatu yang muktamad.

“Contoh paling mudah yang kita boleh ambil adalah pembekalan ikan yang dikuasai orang Cina di negara ini.

“Walaupun kebanyakan nelayan berbangsa Melayu, kita masih tidak dapat beli (borong) daripada mereka kecuali dalam jumlah yang sikit.

“Ini berlaku sebab mereka sudah sign kontrak dengan pemborong-pemborong besar dan di mana kita dalam rantaian ini. Adakah kita mempunyai pilihan?,” soalnya.

Coach Fadzil mengiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun melawat salah satu daripada lebih 40 jenama perniagaan kumpulan Malakat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan segelintir nitizen di laman Facebooknya selepas beliau memuat naik gambar bersama wakil pemilik perniagaan dari GM Plaza yang melawat Malakat Mall, semalam.

Mengulas mengenai perkara itu, Mohd Fadzil berkata, kunjungan itu adalah rentetan daripada usaha Malakat Mall mendapatkan pembekalan bagi beberapa kategori barangan dari peniaga di GM Plaza.

“Kami akan buka tiga lagi kedai di sini iaitu kedai kelengkapan perkahwinan, kedai peralatan mainan dan peralatan parti/acara.

“Semasa di GM Plaza kami diperkenalkan dengan tauke-tauke yang sudah lama berniaga dan mereka sedia bantu kami untuk setup di Malakat Mall.

“Gambar semalam adalah kunjungan tapak untuk mereka lihat apa yang kami perlukan di sini.

“Alhamdulillah mereka kagum dan tidak pernah tahu orang Islam sudah ada mall,” katanya.

Usaha mengembangkan perniagaan khususnya pembinaan ekosistem ekonomi Islam tidak mungkin dicapai dalam masa singkat.

Mengenai dakwaan Malakat Mall tidak mengutamakan pengimport Islam, Mohd. Fadzil atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, pihaknya sudah membuka peluang itu sejak daripada awal pembukaan Malakat Mall namun tidak mendapat sambutan.

“Kami sudah panggil usahawan tempatan berniaga tapi yang datangnya sikit, tapi kita sebagai mall perlukan lebih banyak kedai dan produk untuk memenuhi rak.

“Jadi kami ambil tanggungjawab bila tak ada (pembekal Islam), kami akan buat dulu. Kalau tak, kedai kami kosonglah,” katanya.

Jelasnya lagi, beliau sendiri mempunyai pejabat dan kakitangan di salah satu kawasan pemborongan terbesar di China iaitu Yiwu.

“Sebab itu dalam sesetengah urusan perniagaan, kita tidak ada pilihan, terpaksa ambil daripada bukan Islam juga.

“Itu belum lagi perkara-perkara berkaitan import yang perlu diambil kira seperti MOQ (kuantiti tempahan minimum) dan sebagainya. Tapi orang tidak fikir semua itu,” jelas beliau lagi.

Salah satu daripada outlet produk import dari China yang dimiliki sepenuhnya oleh Malakat Mall melalui pembelian perniagaan.

Dalam pada itu Coach Fadzil berkata, beliau bagaimanapun tidak pernah ‘terasa’ terhadap komen dan kritikan sebaliknya mengharapkan umat Islam lebih memahami konsep BMF.

“Sebab itu kita kata Buy Muslim First bukan Buy Only From Muslim. Perjuangan ini adalah untuk bantu bangsa kita, bukan untuk benci bangsa lain,” katanya.

Katanya, usaha membina ekosistem ekonomi Islam yang dilakukan oleh Malakat Mall adalah salah satu daripada jalan Rasulullah cuba diikuti.

“Sebab itu dalam apa-apa perkara kita kena ikut Rasulullah. Bukannya ikut rasa hati.

“Kalau ikut hati, saya pun tak mahu buat apa yang saya buat sekarang, buat penat sahaja,” selorohnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here