Keadaan pemilik Sushinan semakin positif, sudah boleh gerakkan tangan kanan, berdiri

0
240
Keadaan Cef Nan sewaktu menerima rawatan sejurus kemalangan itu, pada Januari lalu.

CYBERJAYA – Keadaan pemilik premis Sushinan, Adnan Zainal yang terlibat dalam satu kemalangan pada Januari lalu, kini semakin baik.

Menurut anak sulung Adnan, Sabrina, bapanya ketika ini perlu menjalani proses rehabilitasi dari masa ke semasa.

“Alhamdulillah, setelah selesai pembedahan, bapa saya kemudiannya menjalani proses rehabilitasi di Hospital Rehabilitasi Cheras,” kata Sabrina, hari ini.

Beliau menambah, kini bapanya yang lebih dikenali sebagai Cef Nan sudah boleh menggerakkan tangan kanannya, sebagai contoh untuk menyuap diri, dan juga berdiri tegak dan berjalan dengan dibantu.

Cef Nan sedang menjalani program rehabilitasi bagi merangsang kembali saraf yang mengalami masalah akibat kemalangan yang menimpa beliau pada JAnuari lalu. – SABRINA ADNAN

Namun, kata Sabrina, insiden yang menimpa bapanya itu bukanlah suatu yang melunturkan semangat beliau, bahkan beliau turut bersemangat untuk ‘tunjuk muka’ ketika Malakat Mall dibuka di Masjid Tanah.

“Dia amat bersemangat. Dia bukan individu yang jenis cepat mengalah,” kata Sabrina lagi.

SEMANGAT Cef Nan tidak pernah luntur, bahkan turut hadir memberi sokongan kepada Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim pada pembukaan Malakat Mall Masjid Tanah. – SABRINA ADNAN

Pada 16 Januari lalu, Cef Nan yang sedang dalam perjalanan ke premis miliknya Malakat Mall terlibat dalam satu kemalangan dengan sebuah teksi.

Dalam kejadian tersebut, beliau mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan, dan turut disahkan mengalami masalah saraf yang menyebabkan pergerakan anggota dari bahagian tangan hingga kakinya terganggu.

Pada ketika itu, pihak hospital memaklumkan Cef Nan perlu menjalani pembedahan untuk memperbetulkan saraf tunjang beliau yang disyaki dihimpit tulang yang patah.

Atas dasar tanggung jawab, pihak Malakat Mall bersetuju untuk membiayai kos peralatan bagi memperbetulkan tulang belakang Cef Nan yang mengalami masalah itu.

“Apapun saya amat berterima kasih kepada Malakat Mall dan Coach Fadzil kerana membiayai pembedahan bapa saya.

“Segala jasa baik tuan hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya,” kata Sabrina.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here