Kedai runcit Islamik juga tuntutan fardu kifayah

0
224
Maulana Hamzah Talib berucap selepas membacakan doa selamat sempena pembukaan Malakat Grocer Alam Damai, Cheras hari ini.

CHERAS- Muamalat perniagaan yang diceburi umat Islam seharusnya dijadikan sebahagian daripada ibadat malah pada satu peringkat menjadi tuntutan yang wajib dilaksanakan demi kepentingan ummah.

Maulana Hamzah Talib berkata, urusan perniagaan termasuk daripada 10 amalan yang disenaraikan sebagai ibadat utama dalam Islam oleh Imam Ghazali.

Beliau berkata, tuntutan agama wujud dalam semua perkara dan menjadi lebih utama dalam urusan berkepentingan umum seperti berniaga.

Justeru katanya, umat Islam perlu sedar bahawa perniagaan adalah tanggungjawab sosial yang menjadi fardu kifayah dalam masyarakat Islam.

“Kehidupan umat Islam tidak sepatutnya berpisah sedikit pun dengan agama. Bukan seperti amalan agama lain yang mengasingkan agama dengan hal luar dari rumah ibadat mereka.

“Bahkan kita orang Islam beragama dari sekecil-kecilan amalan sehingga sebesar-besar amalan dengan agama. Daripada minum, makan, berkerja, bermusafir, sehinggalah masuk tandas.

“Semuanya demi agama supaya setiap daripada tingkah laku kita mendapat ganjaran daripada Allah,” katanya selepas membacakan doa pembukaan Malakat Grocer Cawangan Alam Damai di sini hari ini.

Pelanggan membeli ayam halal di Malakat Grocer Alam Damai.

Majlis pembukaan cawangan ke tujuh pasar raya milik Kumpulan Malakat itu disempurnakan oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd Fadzil Hashim.

Hamzah yang merupakan antara tokoh tabligh yang disegani di negara ini berkata, keperluan menjadi peniaga menjadi fardu kifayah untuk melindungi ummah daripada dikhianati pada keperluan mereka.

“Dalam muamalat ini juga, kewujudan kedai milik orang Islam menjadi fardu kifayah untuk bebaskan diri kita daripada pergantungan pada peniaga orang bukan Islam.

“Dan syariat juga menetapkan kita perlu menggunakan duit atau berbelanja di jalan yang memberi manfaat kepada agama, bukannya sesuka hati berbelanja untuk apa dan di mana sahaja,” katanya.

Justeru beliau berharap, orang ramai dapat menyokong usaha perniagaan Malakat Mall demi mewujudkan sistem ekonomi Islam yang dapat memberi kekuatan kepada ummahnya.

“Biarlah usaha ini menjadi usaha untuk kita berjaya selama-lamanya, bukan untuk lima atau 10 tahun sahaja,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here