Kelantan batal program bazar Ramadan, Aidilfitri

0
407
Dr Izani

CYBERJAYA – Kerajaan negeri Kelantan membantalkan penganjuran program bazar Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatannya, Dr Izani Husin, ia berikutan kes Covid-19 yang semakin meningkat di negeri itu.

“Bazar Ramadan dan Aidilfitri dibatalkan. Madinah Ramadan ditukar menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC),” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Dr Izani berkata, langkah itu dibuat sebagai usaha untuk membendung penularan wabak itu.

Kelantan semalam mencatatkan sebanyak 171 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negeri itu adalah sebanyak 7,021 kes.

Pada masa sama turut dilaporkan satu kluster baharu iaitu Kluster Bandar Baru Kubang Kerian dengan melibatkan 34 kes dari daerah Kota Bharu, Bachok dan Tumpat.

Kluster tersebut merupakan kluster di tempat kerja iaitu di sebuah institusi kewangan yang terletak di Bandar Baru Kubang Kerian.

Kes-kes yang dilaporkan dalam kluster ini merupakan 10 pekerja institusi kewangan tersebut dan telah menjangkiti ahli keluarga terdekat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here