Kelantan salur saguhati kepada peniaga terjejas akibat pembatalan bazar Ramadan

0
143
Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin

KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta sebagai saguhati kepada 2,500 peniaga yang terkesan akibat pembatalan bazar Ramadan di negeri berkenaan.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, seramai 2,500 peniaga yang berdaftar di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri akan menerima saguhati itu dalam masa terdekat.

“Kita cukup memahami bahawa setiap kali musim Ramadan, bazar Ramadan merupakan punca kepada peniaga kecil. Kita sudah menjangkakan kerugian akan dialami mereka kerana tidak meneruskan bazar kali ini.

“Kita cukup faham, ada sesetengah peniaga sudah beli barang. Oleh itu, saguhati ini diberikan atas kesusahan mereka. Kita berharap dengan sedikit pemberian ini dapat meringankan beban mereka,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Menurut Izani, pembatalan bazar Ramadan tersebut dilakukan secara drastik kerana keadaan peningkatan jumlah jangkitan Covid-19 yang tidak stabil di Kelantan selain kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Beliau berkata, kerajaan juga bimbang sekiranya jumlah kes Covid-19 berterusan yang berkemungkinan besar akan menyebabkan Kelantan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Keputusan untuk melaksanakan PKP atau PKP Bersyarat (PKPB) adalah daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jabatan Kesihatan Negeri akan memberikan laporan kepada MKN.

“Jika keadaan semakin tidak terkawal, kapasiti hospital tidak cukup dan sebagainya, dari situlah keputusan untuk melaksanakan PKP akan diputuskan oleh MKN, dan bukan kerajaan negeri.

“Cuma satu sahaja saya minta, kerjasama seluruh rakyat untuk terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP). Ini kerana jika kes meningkat, kita berada dalam PKP, rakyat akan susah. Kerajaan juga akan susah dan ekonomi akan kembali merudum,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here