Kenaikan harga makanan ternakan di luar kawalan kerajaan

0
68
Ronald Kiandee

CYBERJAYA – Kenaikan harga komponen makanan ternakan yang dipengaruhi pasaran antarabangsa berada di luar kawalan kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, kenaikan harga makanan ternakan seperti jagung dan kacang soya semakin meningkat di pasaran dunia.

Katanya, keadaan itu menjadi penyebab penternak ayam berdepan kos yang semakin tinggi untuk mendapatkan bekalan, katanya.

“Malaysia masih banyak mengimport jagung dan soya yang menjadi sebahagian daripada komponen makanan haiwan.

“Kita tidak menghasilkan cukup jagung untuk dijadikan makanan haiwan. Kalau ia diimport dari luar maka negara kita tidak dapat mengawal harga pada kadar yang berpatutan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kenaikan harga makanan haiwan ini sudah berlaku sejak empat hingga lima bulan lalu.

Dalam pada itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga sudah mengambil langkah menetapkan harga ayam standard pada RM7.90 sekilogram melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang berkuat kuasa 21 April hingga 20 Mei ini.

Justeru, Ronald berkata, pemain industri perlu mematuhi harga kawalan ditetapkan dan pengawalan harga juga perlu dibuat dalam rantaian industri.

Beliau berkata, pihaknya bersama-sama KPDNHEP mengadakan perjumpaan dengan pemain industri untuk mengambil tindakan bagi mengatasi masalah harga runcit ayam termasuk mencadangkan penambahan permit import (AP) ayam.

Kenaikan harga makanan ternakan yang terdiri daripada soya dan jagung dari Argentina dan Brazil dikata menjadi antara punca kenaikan harga ayam di pasaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here