[VIDEO] ‘Kepercayaan’ dorong remaja 29 tahun jadi usahawan Malakat Grocer

0
380
Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim bersama Ali Syahidi Anwar, memotong reben sebagai simbolik perasmian Malakat Grocer Cawangan Gombak di Greenwood hari ini.

GOMBAK – Seorang remaja berusia 29 tahun mengambil keputusan nekad untuk menceburi rangkaian perniagaan Malakat Grocer selepas menyaksikan sendiri kejayaan Malakat Mall.

Ali Syahidi Anwar, selaku Pengurus Malakat Grocer Cawangan Gombak yang dirasmikan hari ini berkata, minat untuk menceburkan diri dalam perniagaan itu tercetus ketika kali pertama berkunjung ke Malakat Mall, Cyberjaya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perasmian Malakat Grocer cawangan Gombak yang disempurnakan oleh Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim.

Majlis turut dihadiri Pengarah Pembangunan Perniagaan Malakat Mall, Mohd. Fazli Rahim dan Ketua Pegawai Operasi Malakat Mall, Abdul Salam Zulkarnain.

“Semuanya bermula selepas berkunjung ke mall di Cyberjaya itu, saya kemudian menonton beberapa video dan promosi mengenai Malakat Mall di media sosial.

“Mesej-mesej yang disampaikan oleh Coach Fadzil meninggalkan kesan di hati saya untuk sama-sama berjuang dalam membangunkan ekonomi ummah.

“Berulang kali saya ke Malakat Mall Cyberjaya (selepas itu) untuk mengenal dengan lebih dekat perniagaan dan perjuangan Coach Fadzil,” katanya yang sanggup memandu selama sejam ke pusat beli-belah itu dari Gombak.

‘Kepercayaan’ dorong remaja 29 tahun jadi usahawan Malakat Grocer
Pengurus Malakat Grocer, Ali Syahidi Anwar

Selain berkunjung untuk mendapatkan gambaran lebih jelas, Ali Syahidi juga merupakan salah seorang daripada pelanggan tetap Restoran Bunch-Oh, Malakat Mall yang terkenal dengan sajian Barat seperti meatball dan pizza.

Menurut Ali Syahidi, selepas membuat sedikit ‘kajian’ mengenai siapa dan apa perjuangan Coach Fadzil, beliau yakin untuk turut sama dalam gerakan memperkasakan ekosistem Islam.

Tambahnya, peluang menjadi usahawan yang ditawarkan oleh Coach Fadzil melalui pembukaan Malakat Grocer sudah pasti sesuatu yang tidak mahu dilepaskan.

Katanya, peluang itu datang tepat iaitu ketika perniagaan pakaian seragam yang diwarisi daripada arwah ayahnya, kira-kira tiga tahun lalu mula merosot.

“Saya tidak punyai banyak pengalaman dalam perniagaan. Sejak tiga tahun lalu saya hanya ada pengalaman menguruskan perniagaan yang ditinggalkan arwah ayah.

“Namun perniagaan merosot teruk selepas Perintah Kawalan Perniagaan akibat Covid-19. Jadi saya rasa inilah peluang terbaik yang ada,” katanya.

Bagaimanapun langkahnya dalam dunia perniagaan runcit itu katanya tidak mudah, kerana terpaksa berusaha keras untuk mendapatkan keyakinan ahli keluarganya.

“Alhamdulillah semua ahli keluarga saya nampak dan yakin pada sistem perniagaan ini yang bukan sahaja berkesan bahkan cukup adil.

“Dalam penglibatan ini, saya sebagai usahawan berkongsi juga (keuntungan) yang sama iaitu 30 peratus dengan pelabur dan KoPPIM,” katanya yang juga ahli Koperasi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).

Pengunjung berbelanja di Malakat Grocer dengan pelbagai tawaran menarik termasuk ayam pada harga RM1 seekor pada hari ini.

Selain itu katanya, beliau juga tertarik dengan sistem NORIBA yang digerakkan oleh Malakat Mall untuk membawa umat Islam keluar daripada skim pinjaman itu.

“Saya juga sangat tertarik dengan kempen tabung NORIBA yang menerima 10 peratus daripada perniagaan kumpulan Malakat.

“Perkara ini bukan sembang kosong sebab saya yakin bila mall dan pasar raya seperti ini semakin banyak, ia pasti akan membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada orang Islam,” ujarnya sambil mahu orang ramai memahami prinsip dan perjuangan Malakat Mall.

Mengulas mengenai operasi Malakat Grocer yang terletak di belakang Stesen Minyak Shell Greenwood itu, Ali Syahidi yakin ia adalah pilihan lokasi yang baik dan berpotensi.

“Saya membesar di beberapa kawasan antaranya di Taman Melewar, Sentul, Batu Muda dan Kampung Baru.

“Di sini penduduknya padat, dan saya tahu di sini ada potensi yang besar. Saya juga rapat dengan komuniti di sini,” katanya.

Coach Fadzil berucapa pada perasmian Malakat Grocer Gombak yang merupakan cawangan ke-8 rangkaian pasar raya runcit itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here