Kerajaan akan terus penggunaan AstraZeneca

0
89
Dr.Noor Hisham

TUARAN – Atas prinsip manfaat melebihi risiko, penggunaan vaksin Covid-19 daripada jenis AstraZeneca akan diteruskan di negara ini kerana kesan sampingan akibat vaksin itu jarang berlaku.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun diteruskan kerajaan tetap perlu lebih berhati-hati ekoran insiden darah beku dan kematian yang dilaporkan berlaku di banyak negara.

“Kami akan meneruskannya, kami tidak mempunyai alasan untuk menghentikannya kerana seperti yang telah saya katakan, kita melihat manfaatnya melebihi risiko,” katanya memetik laporan Bernama selepas melakukan lawatan rasmi ke Hospital Tuaran, semalam.

Hadir sama, Pengarah Hospital Tuaran, Dr G Mohan.

Sebelum ini,, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan telah menyediakan beberapa pelan sandaran jika penggunaan vaksin AstraZeneca ditangguh dan langkah itu akan diambil sekiranya ia didapati tidak sesuai digunakan di negara ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang melihat kaedah terbaik untuk menjalin kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan lain bagi memperkasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di kawasan luar bandar serta pedalaman untuk memastikan penduduk mendapat suntikan vaksin.

“Setiap kawasan (luar bandar dan pedalaman) mungkin keperluannya berbeza. KKM (boleh) bekerjasama dengan pasukan polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) untuk masuk ke kawasan tersebut.

“Kita juga akan melihat daripada segi logistik dan apakah vaksin yang terbaik untuk digunakan. Sebaik-baiknya kita mahu menggunakan vaksin tunggal dan bukannya dua dos, jadi vaksin terbaik buat masa ini ialah dos tunggal CanSino serta vaksin Johnson & Johnson. Satu dos lebih mudah dan kita boleh meliputi seluruh kampung,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, Sabah boleh dijadikan contoh terbaik dalam membendung penularan Covid-19 apabila jumlah kes baharu jangkitan wabak itu berjaya dikurangkan daripada empat digit pada Oktober tahun lepas kepada dua digit dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here