Kerajaan didesak ambil tindakan terhadap majikan ugut pekerja yang berpuasa, solat

0
240
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela) mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang mengugut pekerjanya supaya tidak mengamalkan ajaran Islam terutamanya ketika bulan Ramadan.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, laporan berita hari ini bahawa terdapat pekerja dibelasah dengan teruk dan diugut kerana berpuasa menunjukkan isu tersebut bukan sengaja diada-adakan tetapi merupakan realiti yang berlaku sekarang.

“Tidak cukup dengan dipukul, pistol pula diacukan ke arah mangsa. Ini adalah satu kegilaan, apa salah orang yang berpuasa?

“Sebenarnya, isu majikan tidak benar berpuasa sebegini bukanlah perkara berlaku. Tidak benar solat, tidak benar pakai tudung dan seumpamanya sudah terlalu banyak sehingga kadang-kadang sesuatu yang diterima kerana keterdesakan manusia mahu mendapatkan pendapatan.

“Saya bimbang jika kes ini dibiarkan atau lebih teruk ‘kawtim’ begitu sahaja, ianya akan melarat dan menjadi-jadi di kemudian hari. Mula-mula dinafikan hak beribadat, selepas itu dipukul-pukul. Apakah satu hari nanti akan ada pula yang mati kerana solat, tutup aurat dan berpuasa ketika bekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu laporan polis dan gambar kedua-dua mangsa dalam laman sosial yang didakwa dilarang menjalani ibadah puasa oleh majikannya.

Dalam gambar yang dirakam itu jelas kelihatan kesan luka dan lebam akibat dipukul.

Sementara itu, Aminuddin juga menggesa kementerian terlibat dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya segera mengambil tindakan terhadap insiden seumpama itu.

“Rakyat terdesak mencari rezeki di kala krisis ekonomi ini, jangan biarkan sang kapitalis ambil kesempatan menindas dan bermaharajalela sebegini.

“Malah, ini adalah satu pencabulan hak asasi bagi seorang manusia. SUHAKAM sebagai suruhanjaya di bawah kerajaan perlu bertindak dalam isu ini. Hak asasi rakyat marhaen biasa yang ikhlas bekerja mencari rezeki seperti mereka ini mesti diambil perhatian.

“Bukannya hanya akan muncul membela hak pelacur, hak seks songsang, hak Syiah, hak ajaran sesat dan sebagainya,” tegasnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here