Ketua Polis Negara dakwa ada campur tangan politik dalam PDRM

0
311
Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador membuat ‘kejutan’ pada hari-hari terakhir beliau berkhidmat sebagai orang nombor satu polis dengan
mendakwa berlaku campur tangan politik dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau yang bakal menamatkan khidmatnya pada 4 Mei ini mendedahkan bahawa hubungannya dengan Menteri Dalam Negeri,  Datuk Seri Hamzah Zainuddin  kurang baik atau “bad blood”.

“Jangan megah sangat, (kata) kita menteri dalam negeri berkuasa sangat. Come on,” katanya memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan sidang akhbar khas di Bukit Aman hari ini.

Selain itu, Hamid turut menyifatkan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Hamzah  dicemari “unsur politik”.

Menurut beliau,  menteri tidak sepatutnya campur tangan dalam pengurusan polis dan amalan itu harus dielakkan.

“Dua kali saya bawa perkara ini ke perhatian Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara namun masih ada campur tangan daripada individu tertentu dalam pasukan ini.

“Saya mahu jelaskan tanggungjawab menteri selaku pengerusi SPP ada hadnya.

“Pendedahan ini dibuat bukan untuk melobi dilanjutkan perkhidmatan tetapi mahu menjelaskan bahawa menteri tidak boleh campur sebarangan dalam urusan polis,” kata beliau.

Mengulas lanjut, Hamid memberitahu, banyak siasatan salah laku terhadap polis tergantung, dan sepatutnya ahli suruhanjaya itu mencari jalan untuk menyelesaikan bukan bertemu hanya untuk “minum kopi”.

Tegas beliau, suruhanjaya yang  dipengerusikan Hamzah seolah-olah tidak begitu serius dan hanya  bermesyuarat empat kali setahun dan bukan setiap bulan.

“Inilah situasi yang berlaku. Bayangkan jika Suruhanjaya Perkhidmatan Awam mengendalikan urusannya seperti ini.

“Inilah sebabnya kenapa SPP tidak patut dipengerusi oleh seorang menteri. Lebih baik serah kepada seorang hakim atau bekas hakim. Apabila ia disertai menteri, akan ada unsur politik,” tegasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here