Kluster Pendidikan: Najib gesa segera tutup sekolah

0
112
Datuk Seri Najib Tun Razak

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan supaya mengkaji semula perjalanan sesi persekolahan ketika hampir satu pertiga kluster baharu yang dicatatkan setiap hari melibatkan sektor sekolah.

Beliau berkata, lebih membimbangkan dalam tempoh dua minggu lepas hingga semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengumumkan sebanyak 139 kluster baharu di mana 43 kluster atau 31 peratus melibatkan sektor pendidikan.

“KKM perlu menilai semula risiko bagi sektor pendidikan dan menambah baik apa yang perlu termasuk kemungkinan menukar prosedur operasi standard (SOP), mengurangkan jumlah hari persekolahan, mewajibkan murid-murid disaring setiap dua minggu seperti dibuat di beberapa negara atau tutup sekolah untuk beralih semula ke PdPR selagi bilangan kluster baharu pendidikan tinggi.

“Apapun keputusan, jika purata 31 peratus daripada kluster baharu yang dikesan setiap hari melibatkan sekolah maka ini adalah satu masalah serta risiko besar dan tidak patut dipandang ringan,” katanya dalam satu hantaran laman Facebook miliknya hari ini.

Menurut Najib, jika kluster pendidikan tidak dikawal dengan baik, ia mampu merebak ke masyarakat dengan kadar lebih tinggi berbanding sektor kilang dan pembinaan di mana kebanyakan mereka yang berjangkit mungkin pekerja yang tinggal bersama.

“Kerumitan utama ialah secara umum murid-murid dan remaja kurang terkesan akibat Covid-19.

“Walaupun positif, kebanyakan mereka tidak ada gejala dan sukar dikesan telah berjangkit pada ketika mereka masih boleh menjangkit orang lain.

“Ertinya, murid-murid sendiri tak sedar mereka positif tetapi mereka akan menjangkit kawan-kawan, guru-guru dan orang dewasa di rumah dan seterusnya merebak ke komuniti,” ujarnya.

Najib berkata, apabila wabak itu semakin menular ke masyarakat umum maka usaha untuk membendungnya adalah lebih sukar.

“Orang dewasa serta guru-guru yang dijangkit pula akan lebih terkesan dan kemungkinan jatuh sakit.

“Risiko kesihatan pada orang dewasa dan orang tua yang dijangkit adalah lebih tinggi berbanding murid-murid sendiri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here