Kompaun tiga peniaga di Kelantan akan ditukar ikut Akta 342

0
1076
Peniaga burger antara yang dikenakan kompaun RM50,000 baru-baru ini di Kelantan

KOTA BHARU – Tiga peniaga yang dikompaun RM50,000 Ahad lalu akan dipertimbangkan untuk dikenakan kompaun mengikut kadar kompaun di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, keputusan itu ditetapkan selepas satu perbincangan diadakan antara polis Kelantan bersama pihak Kementerian Kesihatan (KKM) Kelantan semalam.

Katanya, hasil daripada perbincangan tersebut, polis akan mengambil tindakan mengikut garis panduan penetapan nilai tawaran kompaun yang ditetapkan di bawah Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

“Sehubungan itu, KKM mempunyai bidang kuasa untuk menawarkan kadar pengurangan kompaun seperti garis panduan tersebut.

“Kes-kes kompaun lain bagi individu dan premis dinasihatkan supaya membuat rayuan kepada KKM Kelantan untuk mendapatkan kadar pengurangan kompaun mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan kepada masyarakat di Kelantan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menghentikan penularan wabak Covid-19.

Mengikut garis panduan Akta 342, perbuatan seseorang pemegang lesen dan pemilik premis yang gagal mematuhi waktu operasi premis merupakan kesalahan kategori tiga yang boleh dikenakan kompaun maksimum RM10,000.

Orang yang dikenakan kompaun (OKK) diberikan kadar pengurangan sebanyak 50 peratus sekiranya membayar kompaun tersebut dalam tempoh tujuh hari dan 25 peratus sekiranya dalam tempoh 14 hari.

Media sebelum ini melaporkan, tiga peniaga iaitu peniaga burger, peniaga colek dan pemilik kedai runcit masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 selepas didapati ingkar SOP dengan berniaga melebihi had masa.

Ketiga-tiga peniaga itu sudah membuat rayuan kepada KKM untuk pengurangan kompaun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here